April 24, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi FABU dan Fakulti Sains Bantu Realisasi Taman Herba Komuniti SMPK Vokasional Kulai

Oleh: Dr Zakri Tarmidi dan Dr Norhidayah Md Yunus

KULAI, 28 Okt. – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Fakulti Sains (FS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah bekerjasama dengan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Indahpura, Kulai dalam melaksanakan program pemindahan ilmu yang berfokus kepada pembangunan Taman Herba Komuniti di SMPKV Kulai. 

Program ini adalah kesinambungan kepada program perkongsian ilmu yang juga telah dilaksanakan di SMPKV Kulai pada 17 Oktober yang lepas. Dalam program perkongsian ilmu yang lepas, pihak FABU dan FS telah berkongsi berkenaan teknik penanaman kultur Hugel kepada pihak sekolah.

Sementara itu, sesi kali ini pula melibatkan pensyarah dan pelajar UTM, serta para guru dan pelajar sekolah bersama-sama wakil komuniti membangunkan dan membina batas bagi penanaman pokok. 

Pensyarah FABU dan FS yang hadir terdiri daripada ketua projek iaitu Dr Norhidayah Md Yunus, dibantu Dr Nurul Syakima Mohd Yusoff, Dr Huszalina Hussin, Dr Othman Zainon, Dr Ainur Zaireen Zainuddin, Dr Azizah Ismail dan Dr Zakri Tarmidi.

Selain itu, terdapat juga wakil komuniti yang pernah membangunkan taman herba di komuniti mereka, iaitu Puan Ruhaidah Mohd Aris daripada komuniti Kenari, Puan Zati Sofea Hairul Hafiz dari komuniti Jentayu, dan Hj Sarudin Ali dari Komuniti Mutiara Rini.

Program ini dimulakan dengan pengisian oleh Dr Norhidayah dan Dr Huszalina berkaitan teknik-teknik yang akan dilaksanakan pada hari tersebut. Kaedah melaksanakan teknik ini juga telah dikongsikan pada 17 Oktober 2022.

Para pelajar sekolah dengan bantuan pelajar UTM, para guru, dan pensyarah UTM telah bersama-sama membina batas ini. Kerja pembinaan batas dimulakan dengan meletakkan membina lapisan demi lapisan berdasarkan teknik Hugel Kultur.

Salah satu lapisan yang dibina adalah menggunakan bahan organik yang terdiri daripada sisa makanan, buah-buahan serta hampas kopi yang disumbangkan oleh Starbucks. Antara pokok yang telah ditanam termasuklah pokok jagung, tanaman herba, sayur-sayuran dan lain-lain.

Program ini dilihat mampu memperkasa agenda kelestarian dalam kalangan komuniti setempat sekali gus mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagaimana yang telah digariskan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perkongsian awal teknik pembangunan batas
Proses membina lapisan-lapisan batas

 

Antara lapisan batas, iaitu daun pokok yang masih hijau

 

Salah satu lapisan batas, iaitu lapisan bahan kompos makanan

 

Batas yang telah siap dibina dan mempunyai pokok yang telah ditanam

 

Gambar peserta yang terdiri daripada guru dan pelajar sekolah, pensyarah dan pelajar UTM, serta wakil komuniti

 

Explore More