April 27, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Nurul Nazihah binti Jamal 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – “Suami saya yang awalnya menyuarakan hasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana di UTM.” Kata Puan Azleen binti Pishal, 44 isteri kepada Encik Shamsuri Jasri bin Abdul Rahman, 51. 

“Tarikh keramat yang tidak pernah saya lupakan iaitu, 1 Februari 2020, merupakan satu tarikh yang sangat istimewa buat saya dan isteri apabila kami berdua sama sama bertekad mendaftarkan diri untuk menyambung pelajaran di peringkat sarjana” tambah Encik Shamsuri. 

Ketika ditanya, alasan mereka memilih UTM sebagai tempat mereka menempa cita-cita ini, adalah kerana UTM mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat mereka berdua. Untuk pengetahuan, Encik Shamsuri dan isterinya, Puan Azleen, merupakan alumni UTM sebelum ini. Encik Shamsuri merupakan graduan ijazah sarjana muda pada tahun 1994, manakala isterinya telah bersama UTM sejak dari peringkat diploma lagi. 

Mereka berdua tidak menjadikan faktor usia, komitmen kerja dan juga situasi pendemik yang melanda dunia, sebagai batu penghalang buat mereka untuk menyelesaikan segala tugasan yang diberikan.  

“Walau banyak cabaran yang dihadapi, terutama sewaktu pengisytiharan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mewajibkan kita semua untuk duduk di rumah sahaja, emosi saya sedikit terganggu. Ketika itu, kami baru sebulan bergelar pelajar sarjana dan dalam pada masa yang sama kami juga bertanggungjawab untuk menyelesaikan tugas secara atas talian di FGV Holdings Berhad, syarikat di bawah naugan FELDA. Namun suami, sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk kami selesaikan pengajian kami bersama sama,” kata Puan Azleen. 

Menurut Encik Shamsuri, walau ditimpa pelbagai cabaran, dia dan isteri tetap berusaha untuk menyelesaikan pengajian, malah mereka berdua turut berlumba-lumba untuk menjadi pelajar yang terbaik antara mereka. 

Pada Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) ini, pasangan suami isteri ini telah berjaya meraih segulung ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), pada 24 November 2022, dan ini merupakan hadiah yang begitu bermakna buat mereka dan mahu ia menjadi inspirasi kepada keluarga. 

Kejayaan dan pengalaman mereka berdua turut dikongsi bersama pihak pengurusan FELDA dan ia membuka peluang kepada 20 staf yang terpilih daripada FELDA untuk melanjutkan pelajaran dan mengikuti program MBA di UTM. 

Encik Shamsuri merupakan pencetus idea ini dengan membawa Dekan AHIBS UTM mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan FELDA, dan beliau berharap supaya perkara ini dapat menjadi agenda pembangunan modal insan yang berterusan dalam organisasi tersebut. 

Pasangan suami isteri ini turut menyatakan rasa syukur atas pencapaian ini dan berterima kasih kepada tenaga pengajar, ibu bapa, keluarga, pihak pengurusan FGV serta FELDA dan juga sahabat-sahabat yang banyak menyokong serta memberi dorongan kepada mereka. Pencarian ilmu tidak terhenti disini, mereka juga merancang untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam masa terdekat ini. 

“Buat Encik Shamsuri dan Puan Azleen:- Terus terbang tinggi, menjadi suri teladan buat anak bangsa. UTM bangga mempunyai anda sebagai alumni.

Explore More