April 24, 2024

Search
Close this search box.

Sambung Legasi Ibu Bapa, Leena Ong Raih Anugerah Pelajaran Diraja

Oleh: Hazmira Hani Haznan

JOHOR BAHRU, 24 Nov. –  Graduan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Leena Ong Xin Ee, 24, telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dengan jayanya setelah dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Emas) pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia kali ke-66 (MK66) sesi pertama hari ini.

Beliau menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor dengan merekodkan gred purata nilai keseluruhan 3.96 .

Anak kelahiran negeri Johor ini telah menempa pengiktirafan tersebut melalui pencapaiannya dengan merangkul pelbagai anugerah sepanjang 6 tahun pengajiannya di UTM bagi pengajian diploma dan ijazah sarjana muda, antaranya Anugerah Pelajar Terbaik 2019 (Anugerah Alumni bagi Konvokesyen UTM kali ke-66), Anugerah Cemerlang Ko-kurikulum 20/21 (Anugerah Pengarah Perancangan Bandar dan Wilayah) dan Pingat Perak dan Gangsa bagi Anugerah Antarabangsa ‘Duke of Edinburgh’ 2017.

Walaupun sering menonjolkan kecemerlangan pada hampir setiap semester pengajian, Leena juga mengakui pengurusan masa untuk mengimbangkan pencapaian akademik dan ko-kurikulum telah menjadi cabaran terbesar buat dirinya semenjak pengajian diploma lagi. Bagi dirinya, berjaga malam dan bergelut untuk mengejar tarikh akhir tugasan telah menjadi perkara normal bagi dirinya sepanjang menuntut.

“Saya pernah melalui satu fasa, di mana ketika itu saya memegang 7 jawatan bagi kelab berbeza, pada masa yang sama, terdapat 2 pertandingan yang saya sertai sedang berlangsung ketika itu. ”

“Tetapi saya bersyukur, kerana pengalaman tersebut telah membantu membina kemahiran dalam diri saya untuk menguruskan masa. Lama-kelamaan ia telah membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih teratur dan lebih mahir untuk mengendalikan banyak kerja pada satu masa di samping mendisiplinkan diri saya dalam menguruskan kehidupan seharian” ulas Leena apabila mengenang kembali cabaran yang pernah dilaluinya. 

Bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, Leena turut membuktikan kemampuan luar biasa dirinya dengan bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya program kesukarelawanan antarabangsa di Vietnam di bawah anjuran AIESEC.

Seperti mengikut jejak langkah kedua orang tuanya, anak sulung kepada pasangan Alumni UTM yang juga berkhidmat dalam bidang yang sama kini telah memulakan kerjayanya sebagai penolong pegawai perancangan bandar di sebuah firma perunding perancangan turut menzahirkan penghargaan kepada insan-insan yang telah menjadi tulang belakang kepada kejayaan yang dikecapinya pada hari ini.

Explore More