April 20, 2024

Search
Close this search box.

 

30 Okt 2022 – Task Force Alumni Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) telah menganjurkan program riadah sambil membersihkan sampah di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu. Aktiviti ini melibatkan 35 warga FTIR termasuk pelajar, staf dan alumni. Semua peserta program tiba di Sungai Chiling seawal 7 pagi dan telah diiringi oleh pegawai Pejabat Perikanan Daerah Hulu Selangar yang menguruskan Santuari Ikan Sungai Chiling. Program ini telah mendapat sokongan yang sangat baik dari pengurusan FTIR dan juga pegawai santuari dalam memastikan program ini berjaya mencapai matlamatnya.

Antara matlamat program ini adalah untuk mewujudkan penglibatan pelajar, staf dan juga Alumni FTIR dalam mengeratkan ukhuwah warga FTIR dengan melaksanakan program riadah dan menjalankan khidmat kepada komuniti amnya dalam menjaga kebersihan sungai dan alam sekitar. Program riadah beserta pengutipan sampah di Santuari Sungai Chiling telah mencapai SDG 3 (kesihatan dan kesejahteraan yang baik) dalam menjaga kebersihan alam sekitar di samping memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan untuk semua pada semua peringkat umur. Manakala SDG 14 (hidupan di bawah air) juga telah dicapai dalam memulihara dan menggunakan secara mampan sumber marin untuk pembangunan mampan.  Di Sungai Chiling ini terdapat santuari ikan kelah dan ikan tengas yang berada di persekitaran semula jadi yang sangat sesuai untuk mereka membiak dengan baik.

Program ini telah bermula dari jam 7.00 pagi sehingga 12 tengahari. Aktiviti mengutip sampah dimulakan di sekitar pintu utama Santuari sehingga ke air terjun. Perjalanan untuk menuju ke air terjun mengambil masa sejam dengan melalui sebanyak lima checkpoint melintasi sungai. Ianya merupakan pengalaman yang sangat menarik dan tidak mudah untuk dilupakan dalam menikmati keindahan ciptaanNya dan keseronokan bersama sahabat dan ahli keluarga yang turut serta. Di sepanjang perjalanan menyusuri sungai dan denai ke air terjun, pelbagai jenis sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung sebelum ini walaupun ianya minimal.

Kemasukan pengunjung ke Santuari Sungai Chiling adalah percuma dan pengunjung tidak dibenarkan membawa roti untuk memberi makan ikan, namun pegawai santuari telah menyediakan makanan khas ikan-ikan dan boleh diperolehi daripada mereka dengan sedikit bayaran. Maklumat lanjut berkenaan Santuari Sungai Chiling boleh didapati di pautan Sungai Chiling berikut:

Facebook Santuari Ikan Sungai Chiling

Program ini akan dijadikan program tahunan Alumni FTIR dalam menjalin ukhuwah berpanjangan antara staf, pelajar dan Alumni disamping memberi khidmat sosial kepada komuniti setempat. Terima kasih diucapkan kepada task force Alumni, semua peserta program serta pihak pengurusan FTIR yang diwakili oleh Penolong Dekan (Hubungan Luar dan Global), Dr Nur Azaliah Abu Bakar yang turut serta memeriahkan program.

Penulis bersama: Hazilah Mad Kaidi dan Haslina Md Sarkan

 

Explore More