April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pernah Gagal di Peringkat Sarjana, Ahli Kimia ini Buktikan Gagal Sekali Tak Bermakna Gagal Selamanya

Oleh Muhammad Hakim bin Mohd Zain 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – “Pihak universiti dan juga supervisor saya ketika itu menyarankan supaya saya memulakan semula pengajian dari peringkat awal”, ujar Mohamad Firdhaus bin Ramli yang merupakan salah seorang graduan Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan Sarjana Sains Profesional.

Keputusan yang mendesak beliau untuk tidak meneruskan pengajiannya itu hampir melenyapkan harapannya untuk bergelar pemegang ijazah Sarjana. Masih segar dalam ingatan apabila mengimbau saat ketika apabila makmal pascasiswazah di sebuah universiti tempatan di Shah Alam yang menjadi medan utama bagi Firdhaus Ramli untuk menggenggam segulung ijazah telah terbakar sehingga menyebabkan semua bahan uji kaji serta hasil-hasil kajiannya turut terbakar.

Percaya akan percaturan Allah SWT di sebalik ujian terhadap dirinya, graduan anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan memandangkan usianya juga yang sudah menginjak dewasa ketika itu.

Langit tak selalunya cerah, awan pun tak selalunya mendung. Berkat usahanya, beliau telah ditawarkan bekerja dalam sektor awam sebagai Pegawai Sains (Forensik) di Jabatan Kimia Malaysia. Apa yang lebih membanggakan, beliau telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan kes insiden yang melibatkan kematian seorang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib yang pernah menjadi bualan hangat seluruh rakyat Malaysia pada tahun 2018 yang lalu.

“Saya telah diberikan kepercayaan untuk mengendalikan kes tersebut walaupun masih boleh dikatakan baharu sahaja bertugas di Jabatan Kimia Malaysia itu. Hasil daripada siasatan kes tersebut, saya turut dipanggil untuk memberi keterangan sebagai Saksi Pakar di Mahkamah Shah Alam”.

Dek iltizam dan semangat dalam diri yang tidak pernah kenal akan erti mengalah, beliau kembali meneruskan semula pengajiannya di peringkat Sarjana di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak pada awal Februari 2020. Namun, penularan virus COVID-19 yang melanda seluruh negara pada ketika itu turut memberi kesan kepada beliau apabila terpaksa menghadiri kelas secara maya selama dua sesi dan menghabiskan waktu hujung minggunya di makmal bagi menyiapkan projek akhir sarjana.

“Saya hampir berputus asa kerana masa untuk berada di makmal adalah singkat berikutan pandemik, namun semangat dan dorongan oleh ahli keluarga terutamanya isteri saya, Dr.Wan Farah Nasuha binti Wan Iskandar yang juga ketika itu bergelar pelajar di peringkat Doktor Falsafah telah membantu saya untuk terus cekal dalam menyiapkan projek saya pada masa yang ditetapkan”.

Firdhaus Ramli menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran apabila berjaya menamatkan pengajiannya dan bergelar graduan Sarjana pada Majlis Konvokesyen UTM ke-66 ini. Beliau berharap agar bakal-bakal graduan tidak akan pernah jemu dan sentiasa cekal dalam menjalani proses untuk melahirkan seorang graduan yang hebat di luar sana.

Explore More