April 18, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Muhammad Hakim Mohd Zain 

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Proses pembelajaran bukanlah satu medan perlumbaan yang melihat kepada siapa yang lebih awal menamatkan pengajian masing-masing, namun ia melihat kepada pembentukan nilai sahsiah dan jati diri seorang manusia untuk berbakti kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.

Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia ke-66 (MK66) pada kali ini turut meraikan hasil pengorbanan Mohd Nasir bin Nawawi, 47, yang sanggup menghentikan seketika pengajiannya bagi memberikan ruang dan laluan kepada adik-beradiknya meneruskan pelajaran di puncak menara gading.

Anak sulong daripada 7 orang adik beradik ini dengan berat hatinya memilih untuk menghentikan seketika cita-citanya untuk memburu segulung skrol Ijazah Sarjana Muda setelah berjaya menamatkan pengajian dalam kursus Sijil dan Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Ungku Omar, Perak.

Pemergian ayahanda yang tercinta telah memberikan satu mesej kepada Mohd Nasir untuk menggalas sepenuh tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Gamuda Berhad merupakan syarikat pertama bagi Mohd Nasir menjejakkan kaki ke alam kerjaya bagi memastikan beliau dapat membantu menyara adik-beradiknya yang melanjutkan pengajian masing-masing. 

“Biarlah saya sebagai abang mengalah seketika untuk melihat adik-adik saya yang lain mampu mengejar cita-cita mereka. Pendidikan adalah asas kehidupan yang tidak boleh diambil ringan demi masa hadapan mereka”, ujar beliau yang sanggup berkorban tenaga dan wang ringgit demi kelangsungan pendidikan adik-beradiknya.

“Alhamdulillah, mereka semua telah berjaya di IPT masing-masing dan semuanya telah mendirikan rumah tangga”, tambah beliau yang menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran apabila dapat melihat adik-beradiknya mencapai cita-cita mereka.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam ini turut menyifatkan pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi apabila beliau melanjutkan pengajian di UTM lebih-lebih lagi pada usia 40-an ini, termasuklah daripada segi komitmen terhadap keluarga, kerjaya dan akademik. 

“Sebagai seorang bapa, saya perlu memberikan tumpuan kepada anak-anak, sebagai seorang ketua keluarga, saya perlu menunaikan tanggungjawab mencari nafkah, dan sebagai seorang pelajar, saya perlu memberikan perhatian kepada kelas dan tugasan akademik itu sendiri”, tambah Mohd Nasir yang akhirnya mampu melanjutkan pengajian sebagai pelajar separuh masa di UTM pada sesi 2015/2016.

Beliau percaya bahawa “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Keputusan untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda adalah tidak lain tidak bukan untuk membantu mengubah nasib dan memajukan keluarga seterusnya mengejar cita-cita sebagai seorang jurutera. 

“Terima kasih kepada Allah SWT, ibu, isteri, anak-anak, adik-beradik, sahabat-sahabat dan para pensyarah yang banyak memberi dorongan, serta membantu sepanjang pengajian saya di UTM ini.

“Buat bakal graduan di sana, semoga anda terus cekal dan tabah mengharungi liku-liku peritnya demi mengejar cita-cita. Teruskan belajar dan menuntut ilmu kerana tiada noktah yang mampu mengakhiri perjuangan kalian. Semoga bakal graduan di luar sana mampu menabur 1001 bakti kepada bangsa, agama, dan negara seiring dengan slogan “Kerana Tuhan Untuk Manusia”.

Explore More