Pemilik Syarikat Terkemuka Asia Tenggara Cipta Hat-trick, Raih Ijazah Doktor Falsafah

Oleh Muhammad Hakim bin Mohd Zain 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – “Pada tahun ini, saya berjaya mencipta hat-trick apabila berjaya menerima kelulusan ijazah ketiga saya di UTM, iaitu Ijazah Doktor Falsafah”, ujar Lai Mee Chian, 44, yang merupakan pemilik sebuah syarikat yang terkemuka di Asia Tenggara, iaitu SOFtronix Sdn. Bhd.. 

Anak kelahiran Segamat, Johor itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik pada tahun 2000 dan juga graduan Ijazah Sarjana Pengurusan Teknologi pada tahun 2015 sebelum melanjutkan pengajianya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan pada tahun 2016 di bumi UTM yang tercinta ini.

Di sebalik kejayaan dalam bidang akademik, Lai Mee Chian turut menjadi tulang belakang dalam membawa syarikatnya merangkul anugerah Sinchew Business Excellence Award 2020, SME Platinum Business 2021 dan Export Excellence Award 2021 pada dua tahun yang lalu. Hasil kegigihan usahanya, kini syarikat beliau telah berjaya mencipta rekod dengan mempunyai lebih daripada 35 pelanggan yang meliputi 7 buah negara. 

Sebagai usahawan muda yang berjaya membawa syarikatnya mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, Lai Mee Chian tidak dapat menafikan akan kesibukan yang terpaksa dihadapinya apabila memerlukan pergerakan di dalam mahupun ke luar negara untuk berurusan bersama para pelanggan dan rakan kerjanya. Namun, pada masa yang sama, beliau juga perlu memberi komitmen untuk hadir ke kelas dan menyiapkan segala tugasan pada masa yang ditetapkan oleh para pensyarah. 

Tambah beliau, “Keadaan ini memerlukan kebijaksanaan saya dalam pengurusan masa supaya saya dapat menyeimbangkan masa di antara kerjaya saya dan pengajian akademik saya.” 

Beliau menyifatkan cabaran daripada segi masa adalah satu perkara yang tidak asing dalam kehidupan seorang mahasiswa untuk mengejar cita-cita masing-masing.

Lai Mee Chian turut berjaya menerajui syarikat perniagaannya mengharungi pelbagai cabaran selama negara dilanda pandemik COVID-19 yang hampir menutup periuk nasi para usahawan di luar sana. “Syarikat saya bukan sahaja berjaya bertahan selama dua tahun yang lalu, sebaliknya perniagaan kami terus berkembang”, ujarnya yang menyifatkan senario pandemik tersebut sebagai salah satu ruang untuk beliau lebih menimba ilmu pengetahuan dalam menguruskan perniagaannya.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa saya pernah berhasrat untuk berhenti daripada pengajian saya di UTM atas sebab tekanan yang begitu tinggi terutamanya cabaran yang bertubi-tubi perlu diharungi dalam perniagaan saya”, ujar Lai Mee Chian yang menyifatkan dorongan daripda penyelia akademik dan ahli keluarga yang tercinta membantu beliau untuk berjaya menamatkan pengajian selepas enam tahun bergelar mahasiswa UTM.

Slogan “Kerana Tuhan Untuk Manusia” memberikan 1001 makna kepada para graduan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat, agama dan negara. Lai Mee Chian menzahirkan perasaan syukur dan bangga kerana berjaya menamatkan pengajiannya.