April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pasangan Kembar Raih Ijazah Sarjana Muda, Kini Sama-sama Jadi Jurutera

Oleh: Nurul Nazihah Jamal 

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – “Kami dari kecil tidak pernah berpisah”, kata Amirah Syahirah binti Rizal, 23. Menurut Syahirah yang lebih mesra disapa ‘Adik’, beliau tidak pernah berpisah dengan kakak kembarnya, Amirah Syafirah binti Rizal, 23, semenjak kecil, malah ketika menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Teknikal Johor, mereka juga memohon untuk tetap bersama.

Rezeki masih berpihak kepada mereka, apabila Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan kursus pengajian yang sama, kolej kediaman dan bilik penempatan yang sama kepada mereka berdua. 

Amirah Syafirah (kiri) dan Amirah Syahirah (kanan) merakam detik istimewa bergraduasi bersama.

Dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) ini, pasangan kembar ini telah berjaya meraih ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 21 November, dan ini merupakan hadiah yang begitu bermakna buat keluarga kecil mereka. 

Menurut Syahirah, perjalanannya bersama kakak untuk sampai ke puncak menara gading ini bukanlah suatu yang mudah. Banyak dugaan dan cabaran mereka hadapi bersama. Datang dari keluarga yang sederhana, Syahirah dan kakaknya turut membanting tulang bersama, bekerja separuh masa untuk menampung yuran pendaftaran pengajian mereka di UTM. 

“Alhamdulillah rezeki dari Allah yang maha kuasa, saya dan kakak dapat biasiswa sepanjang pengajian kami di UTM. Saya berjaya menjadi salah seorang pemegang biasiswa UTM Endowment manakala kakak, biasiswa Yayasan Sultan Iskandar”, kata Syahirah dengan penuh kesyukuran. 

“Satu prinsip yang kami pegang, orang yang pandai tidak semestinya berjaya tetapi orang yang rajin dan tidak kenal erti putus asa pasti akan berjaya”, tambah Syahirah menjelaskan beliau dan kakaknya bukan dilahirkan sebagai seorang yang pandai tanpa usaha dan kerajinan diri. Prinsip ini jugalah yang dibawa dan dikongsikan oleh mereka kepada rakan-rakan yang sedang menghadapi kesukaran sewaktu pembelajaran.

Kini, pasangan kembar ini merupakan jurutera di sebuah syarikat. Dengan nada gembira, Syahirah memaklumkan beliau dan Syafirah kini bekerja di Smith Detection, Lapangan Terbang Changi, Singapura.  

“Kami pun tidak menyangka, haluan kami selepas bergelar graduan pun masih sama. In Sha Allah, jika diberikan peluang, ruang dan kesempatan, kami mahu menyambung pelajaran ke peringkat sarjana pula”, kata beliau ketika mengakhiri bicara. 

Explore More