April 26, 2024

Search
Close this search box.

MK66: 101 Graduan Ijazah Sarjana Berjaya Dilahirkan Menerusi Program ODL

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi merakamkan pencapaian yang membanggakan kerana telah berjaya melahirkan seramai 101 orang graduan sulung menerusi Program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang julung kalinya diraikan dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66).

Kesemua graduan ODL tersebut adalah  44 orang graduan daripada program Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan), 8 orang graduan daripada Sarjana Kejuruteraan Forensik dan 49 orang graduan daripada program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Program ODL mula ditawarkan di UTM bermula dari Sem 2 Sesi 2019/2020 dengan bilangan pelajar seramai 31 orang. Sejak ia mula ditawarkan, berlaku peningkatan dari segi bilangan pelajar yang mendaftar untuk ketiga-tiga program ODL tersebut.

Kejayaan UTM melahirkan graduan sulung Program ODL ternyata memenuhi trend pembelajaran masa kini dan ianya  memberi peluang kepada individu yang bekerja dan golongan profesional khususnya yang ingin menyambung pengajian di UTM tanpa perlu risau akan halangan dan kekangan dari segi masa, tempat serta komitmen sedia ada.

Program ODL juga semakin diterima dan kini merupakan sebahagian dari pendidikan aliran utama yang amat diperlukan di Malaysia. Sehubungan itu, UTM bakal menawarkan 8 lagi Program ODL pada tahun 2023.

Mengambil kira besarnya erti sebuah konvokesyen kepada graduan sulung Program ODL ini, pihak Universiti Teknologi Malaysia ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada 101 orang graduan yang telah berjaya memperoleh ijazah sarjana masing-masing.

Explore More