April 26, 2024

Search
Close this search box.

Menjadi Usahawan, Belajar dan Bekerja Serentak Beri Pengalaman Berharga Buat Susiana

Oleh: Siti Nur Fatin Hakimah Binti Ibnuzaman

JOHOR BAHRU, 24 Nov.– Susiana binti Yusof, seorang graduan yang berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan dalam Teknousahawan di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia, memberi kredit kepada didikan dan tunjuk ajar pensyarah atas kecemerlangan yang beliau perolehi, di samping mendapat sokongan dari rakan-rakan dan suami, khususnya. 

Beliau yang merupakan lepasan ijazah sarjana muda dari Universiti Tenaga Nasional, mengakui menghadapi sedikit kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan sejak menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda. 

Namun, setelah dua tahun menjadi seorang ‘job seeker’, kini beliau sudah bekerja di bawah sebuah syarikat tetapi di dalam masa yang sama, beliau mencabar diri sendiri untuk mencipta pekerjaan (job creator) dengan corakan serta haluan tersendiri untuk merealisasikan cita-cita yang terpendam.

Pada saat itu, Susiana bukan sahaja menjadi sorang pekerja di syarikat milik orang lain di siang hari, malah di malam hari beliau seorang pekerja bagi perniagaan sendiri. Tambahan pula, operasi perniagaan semasa COVID-19 melanda negara menjadi satu igauan ngeri yang sukar diungkap.

Dalam masa yang sama, beliau yang ditawarkan biasiswa penuh oleh Yayasan Terengganu tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh dengan bersungguh-sungguh menggalas tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar. Ada sahaja pengalaman perit yang dilalui.

Sebagai contoh, tesis yang telah 90% siap telah ditolak oleh pensyarah dan beliau perlu memperbaikinya dalam masa sehari sahaja sehingga berhasrat untuk tidak meneruskannya lagi. Namun, pengalaman sebegitu rupa yang membangkitkan semangat beliau untuk terus maju pada semester mendatang.

Peluang belajar di AHIBS digunakan sebaiknya oleh beliau dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dari pensyarah yang serba-serbi penuh pengalaman dalam bidang industri dan tidak kedekut untuk berkongsi bersama.

Dalam masa yang sama, beliau mengambil kesempatan dengan meluaskan ‘networking’ sesama rakan di dalam kelas dan di luar kelas yang mana rakan-rakan beliau, walaupun sudah berjawatan tetap seperti doktor dan juruterbang, tetapi mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. 

Selepas dua tahun belajar di UTM, kemahiran yang ada pada diri dapat ditingkatkan seterusnya dilihat membuahkan hasil apabila beliau berjaya membuka perniagaan sendiri dengan jenama ANNA SOPHEA APPAREL. Perniagaan yang berpaksikan jualan telekung dan sejadah bersulam telah menarik ramai pembeli dalam kalangan generasi muda. 

Beliau berusaha untuk berkolaborasi bersama komuniti yang pakar dalam bidang jahitan, sekali gus menaikkan lagi hasil jualannya. serta mempunyai kemahiran untuk berunding bersama pembekal dari dalam dan luar negara. Beliau juga berusaha dengan mendapatkan ilmu dari perusahaan Siti Khadjiah dan juga Adnan Hassan Fashion Academy.

Tidak dilupakan juga, beliau kini semakin yakin dan berani untuk berkongsi idea dan pendapat dengan syarikat yang beliau kini bekerja untuk menghasilkan produk inovasi lain seperti menjadikan kelapa dara sebagai satu bahan aktif yang memfokuskan pengurusan berat badan kerana sebelum ini kelapa dara kebiasaannya diambil dalam bentuk minyak, tetapi hasil daya kreativiti beliau, minyak kelapa dara dapat diubah menjadi serbuk. 

Idea serta inovasi inilah yang menyelamatkan kewangan syarikat beliau semasa COVID-19 melanda kerana permintaannya amat mengalakkan dan gaji beliau juga sudah dinaikkan berbanding sebelumnya atas sumbangan ini. Sumbangan ini jugalah membuahkan hasil apabila syarikat beliau berjaya memperoleh geran dan produknya diterima untuk bagi proses ujian klinikal.

Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) kali ini pasti menjadi kenangan terindah kerana beliau turut dapat bergraduasi bersama suami yang juga mengambil ijazah sarjana. Bagaikan sudah berjanji, mereka berdua berjaya mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang sama iaitu 3.83. Beliau akui tidak mudah menjadi seorang pekerja, peniaga, pelajar, pengurus rumah tangga dan penjaga kepada seorang cahaya mata pada masa serentak, jikalau tiada daya dan pertolongan dari Allah SWT. 

Seperti orang lain, beliau juga mengalirkan air mata dan menganggap itulah harganya jika seseorang mahukan sesuatu. Itulah pengorbanan yang tidak ternilai buat beliau. Beliau juga berpesan kepada pelajar di luar sana untuk terus mengembangkan potensi diri agar lebih mudah untuk diterima sebagai pekerja di mana-mana syarikat nanti.

Explore More