November 22, 2024

Search
Close this search box.

“Kurasa manisnya jua sebuah perjuangan”, Cikgu Hasnida Genggam Ijazah Sarjana dalam Usia 51 Tahun

Oleh: Nurul Hazmira Hani Haznan

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – “ Kurasa manisnya jua sebuah perjuangan”, begitulah ungkapan indah untuk menggambarkan kegembiraan yang dirasai oleh seorang graduan Ijazah Sarjana, Hasnida Ahmad selepas secara rasmi berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Pengurusan dan Pentadbiran dalam Pendidikan dalam usia 51 tahun. 

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesungguhan, hari ini dapat saya merasai kemanisan kejayaan ini setelah pelbagai keperitan yang berlaku di dalam hidup saya untuk sampai ke tahap ini.” ulas Hasnida ketika ditemu bual di Dewan Sultan Iskandar, UTM.

Hasnida kemudian bercerita, semenjak kecil lagi beliau memang menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran sehingga peringkat Doktor Falsafah kerana ingin memenuhi impian bonda tercinta melihat anak perempuannya membawa gelaran doktor. Namun begitu, adat kehidupan, ibarat roda berpusing terkadang di bawah terkadang di atas, kejayaan yang sentiasa mengiringi dirinya termasuk tawaran untuk melanjutkan pelajaran di luar negara terpaksa ditolak akibat masalah peribadi yang dihadapinya ketika itu. 

Situasi masih lagi tidak berpihak kepada Hasnida apabila impiannya untuk menggenggam skrol ijazah sekali lagi terkubur apabila terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti di pertengahan jalan ketika menuntut sebagai pelajar program pensiswazahan Kementerian Pendidikan Malaysia di Open University Malaysia (OUM).

Namun begitu, pada tahun 2012, tanpa kenal erti Lelah, Hasnida sekali lagi mendaftarkan dirinya untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah dengan kepujian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Ketika melanjutkan pengajaran sarjana muda di UTHM, saya masih dirantai dengan masalah kewangan dan peribadi, namun kali ini saya tekad untuk menghabiskan pembelajaran.

Biarpun dihimpit pelbagai masalah, saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan lagi untuk saya terus maju ke hadapan.”

Ketika tempoh pengajian, Hasnida sekali lagi diuji apabila berlaku masalah dalam bahtera perkahwinan yang menyebabkan statusnya bertukar menjadi ibu tunggal. Satu demi satu cabaran Hasnida tempuhi dengan penuh kesabaran untuk mendapatkan segenggam ijazah terbalas indah apabila  beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan Kelas Pertama sekali gus membuktikan kemampuan dirinya dengan merangkul Anugerah Naib Canselor.

Bagai tidak puas dengan kejayaan yang dikecapinya, pada usia 49 tahun Hasnida telah mendaftarkan diri sebagai pelajar sarjana sepenuh masa di UTM dan sekali lagi menempa nama apabila memenangi pingat emas di ‘12th School of Education Innovation Day Award’ anjuran UTM. 

Apabila ditanyakan dari manakah beliau mendapatkan sumber sokongan sehingga meletakkan dirinya di tahap ini. Beliau menjawab, 

“Anak- anak, rakan sekerja dan rakan seperjuangan serta para pensyarah merupakan pemangkin semangat saya. Sokongan luar biasa yang diberikan oleh insan-insan inilah yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencabar diri dan terus melangkah maju ke hadapan tanpa memikirkan tohmahan keji orang di sekeliling lebih -lagi apabila saya menyambung pelajaran dengan usia yang agak lanjut”

Berbicara tengtang perancangan masa hadapan, ibu kepada 5 orang anak ini berkongsi bahawa dirinya ada menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah, tetapi apakan daya, komitmen sebagai seorang ibu lebih menuntut dirinya untuk memberikan tumpuan kepada anak-anak yang masih bersekolah dan belajar. 

“Saya berharap agar impian saya untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PhD dapat disambung oleh anak-anak dan saya berdoa agar mereka dapat mencipta kejayaan buat diri mereka sepertimana saya berjuang untuk mencipta kejayaan dalam kehidupan saya”

Semoga kisah Cikgu Hasnida ini dapat memberikan inspirasi kepada insan diluar sana dalam mengecapi cita-cita yang diingini kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, segala usaha perlulah dikerah diiringi dengan doa dan tawakal kepada Sang Pencipta.

Explore More