April 24, 2024

Search
Close this search box.

Ibu Lima Anak Raih Ijazah Sarjana di Sebalik Kesibukan Tugas sebagai Pengurus PETRONAS

Oleh Siti Nur Fatin Hakimah Binti Ibnuzaman

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – Puan Nurhidayah Binti Ramli, 38 kini menjawat jawatan sebagai seorang pengurus di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam Sarjana Sains (Pengurusan Tenaga) di Universiti Teknologi Malaysia.

Puan Nurhidayah sebelum ini telah mendapat pendidikan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan kini merupakan ibu kepada lima orang anak ini, telah bekerja sebagai seorang jurutera selama 15 tahun, bermula dari Kerteh, Terengganu selama 13 tahun, kini di Pengerang, Johor. 

Puan Nurhidayah ini bercita-cita untuk meneruskan pembelajarannya dalam bidang Doktor Falsafah (PhD) bagi kursus yang sama dan beliau akui bukan mudah untuk menamatkan pengajian sarjana kerana menurut apa yang diceritakan oleh beliau, beliau terpaksa menangguhkan satu semester kerana tuntutan kerja yang amat berat dan memerlukan beliau untuk berjaga di malam hari bagi menyiapkan semua tugasan dan projek. 

Pengalaman beliau selama 15 tahun dapat dilihat apabila beliau telah terlibat dalam bidang pengoperasian dan pengoptimuman termasuk air dan tenaga serta proses simulasi, proses kejuruteraan dan urus tadbir.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh Pn. Nurhidayah adalah beliau seorang individu yang mampu menyelia dan menyelaraskan antara vendor dan perunding projek bagi kajian kebolehlaksanaan dan persediaan Basis Design Package (BDP) untuk pengoptimuman projek. 

Beliau juga seorang yang mampu menyelaras dan berhubung dengan pelbagai Agensi Kerajaan Tempatan/ Persekutuan dalam melancarkan pengurusan projek serta mampu memberikan cadangan dan penyelesaian dalam membangunkan dan melaksanakan urus tadbir di Kompleks Bersepadu Petronas (PIC). 

Pn. Nurhidayah yang amat meminati alam sekitar dan penjimatan tenaga pernah dianugerahkan dengan kejayaan bagi projek kitar semula air, iaitu EXCELLENT Award for PETRONAS Environment Campaign Award pada tahun 2016 dan GOLD for Special Project Award for Prime Minister’s Hibiscus Award pada tahun 2017 lalu.

Beliau akui bahawa perjalanan beliau ke PhD masih belum bermula, namun selepas beliau memperoleh kecemerlangan dalam ijazah sarjana ini, beliau temui bahawa segala kerja keras dan usaha beliau telah membuahkan hasil. 

Tidak dinafikan bahawa kepayahan dalam menyelesaikan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah sememangnya mencabar, dengan tambahan anak-anak yang sedang membesar dan bekerja sebagai seorang jurutera, namun beliau berharap agar pengalaman yang beliau hadapi sepanjang menamatkan pengajian dapat mendorong wanita lain untuk mengejar impian mereka juga.

Beliau juga berpesan kepada para mahasiswa untuk tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan sebolehnya menjadi seorang trainee yang bersungguh-sungguh semasa latihan industri dengan tidak salah memilih syarikat dan sentiasa berfikir serius untuk masa hadapan.

Explore More