April 17, 2024

Search
Close this search box.
Para peserta Mapathon, Research Competition dan juga ahli jawatankuasa yang menjayakan program kolaborasi UTM-Grab

JOHOR BAHRU, 4 Jul. – Usahasama antara Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia dan syarikat rangkaian berasaskan lokasi Grab sudah berlangsung sejak dari 2019 yang mana FABU telah menjadi universiti awam perintis yang menjalin kerjasama strategik dengan pihak industri, Grab Malaysia dalam melaksanakan program libat sama komuniti yang pada kali mensasarkan pelajar universiti sebagai peserta.

Grab Geostars pada kali ini dijalankan melalui dua (2) acara iaitu

  • Coursera Mapathon
  • Geospatial Research Competition

Pertandingan Geospatial Research Competition telah berlangsung selama 3 bulan iaitu daripada April sehingga Julai 2022 dimana 13 kumpulan pelajar telah mendaftar daripada pelbagai program di UTM termasuklah pelajar daripada Sarjana Muda Geoiformatik, Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik, Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Doktor Falsafah Geoinformatik dan juga Sarjana Muda Pembinaan.

Sesi penilaian telah berlangsung sebanyak 3 kali iaitu “Pitching Day” dimana para peserta perlu membentangkan kerangka idea projek yang ingin dibangunkan. Penilaian kedua merupakan “Progress Day” yang mana setiap kumpulan perlu membentangkan kemajuan pembangunan idea yang telah dicadangkan dan sesi penilaian terakhir merupakan “Demo Day” yang mana setiap kumpulan membentangkan hasil akhir kajian. Setiap sesi telah diadili daripada dua pihak panel iaitu para pensyarah FABU dan juga wakil daripada pihak Grab sendiri.

Projek boleh terdiri daripada analisis spatial berdasarkan data geospatial yang dilombong melalui laman-laman sesawang data geospatial berbentuk Point of Interest (POI) ataupun pembangunan sistem yang relevan seperti aplikasi mudah alih dan juga aplikasi pemetaan berasaskan laman sesawang.

Berbeza dengan 2 sesi sebelumnya yang dijalankan secara online, Demo Day telah dijalankan secara fizikal pada 29 Jun 2022, pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari. Cuma enam (6) kumpulan yang mara ke Demo Day berikutan kegagalan 7 lagi kumpulan untuk membuat pembentangan di sesi Progress Day.

Berikut merupakan senarai kumpulan yang mara ke peringkat akhir bersama-sama dengan tajuk projek :

  • Spatialigence – Grab4Farmers
  • Mohd Radhie Salleh – Low cost mobile apps for POI creation
  • P&S – Mapping and spatial analysis of 3 major fast food chain restaurant
  • Sui Zer Sdn Bhd – Visualizing the relationship between EV charging station and economic areas using web GIS
  • Team Alpha – Empowering humanity and well-being in the society
  • Auroravx – Map of flood hazard with the location of evacuation centres and residence population by districts in Selangor

Kesemua kumpulan telah memberikan komitmen terbaik dan pelbagai idea baharu telah diketengahkan dan berpotensi komersial biarpun masa yang diperuntukan hanya tiga bulan. Penyertaan dari pelajar tahun 2 (P&S dan Auroravx) dilihat sebagai satu inspirasi keberanian dan keyakinan dalam bersaing dengan pelajar-pelajar yang lebih senior.

Kemenangan telah diraih oleh kumpulan Spatialigence dengan kajian yang bertajuk Grab4Farmers, diikuti dengan tempat kedua, Mohd Radhie Salleh, tempat ketiga kumpulan Alpha daripada Kejuruteraan Mekanikal, tempat keempat Sui Zer Sdn Bhd, manakala tempat kelima dan keenam iaitu Auroravx dan P&S.

Sebahagian daripada antaramuka aplikasi mudah alih Grab4Farmers yang memenangi tempat pertama.
Sebahagian daripada antaramuka aplikasi mudah alih Grab4Farmers yang memenangi tempat pertama.

Pertandingan seperti ini berpotensi untuk meningkatkan kesediaan pelajar dalam menghadapi cabaran dalam dunia kerja yang sebenar. Pertandingan ini bukan sahaja menguji kreativiti dan tahap literasi para pelajar dalam mengaplikasi pengetahuan teori yang telah dipelajari di dalam kelas, malahan ia juga melihat komitmen pelajar terhadap pembangunan kemajuan projek dalam masa tiga bulan disamping komitmen pelajaran yang lain. Selain itu, pertandingan ini juga memberi impak tinggi kepada university yang mana ianya memenuhi saranan aim4star yang melibatkan pihak university (UTM), industry (Grab) dan masyarakat (pengguna sasaran).

Explore More