April 24, 2024

Search
Close this search box.

FABU UTM Terajui Potensi Keusahawanan Ternakan Puyuh Bersama Warga SMPK Vokasional Indahpura

Oleh: Dr Nurul Syakima Mohd Yusoff, Dr Ainur Zaireen Zainuddin, Dr Zakri Tarmidi

KULAI, 17 Okt. – SMPK Vokasional Indahpura, Kulai dengan kerjasama Fakulti Alam Bina Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta wakil komuniti penternakan burung puyuh daripada Puyuh Bukit Enterprise telah bersama-sama melaksanakan program pemindahan ilmu dengan perkongsian berkenaan berkenaan penjagaan burung puyuh dan pembinaan taman burung puyuh. 

Program ini dilaksanakan bagi meningkatkan potensi keusahawanan pelajar dengan kaedah penternakan burung puyuh di sekolah tersebut. Program ini diketuai oleh Dr Nurul Syakima Mohd Yusoff, serta Dr Ainur Zaireen Zainuddin, pensyarah di FABU, UTM. 

Program ini terbahagi kepada beberapa sesi, iaitu sei penyediaan rekabentuk, sesi perkongsian ilmu, pembangunan tapak, dan penyerahan projek. Sesi kali ini adalah sesi pertama bagi program ini, iaitu sesi perkongsian ilmu daripada Dr Nurul Syakima dan pakar penternakan burung puyuh kepada komuniti sekolah, iaitu guru-guru, dan para pelajar sekolah.

Program dimulakan dengan ucaptama daripada Dr Othman Zainon, daripada FABU, diikuti perkongsian berkenaan penternakan burung puyuh oleh En Kamisan Awang, wakil komuniti serta pakar penternakan burung puyuh daripada Puyuh Bukit Enterprise. En Kamisan berkongsi berkenaan maklumat penternakan burung puyuh seperti tempoh masa matang, jumlah telur yang boleh dihasilkan dalam masa sehari, dan kaedah terkini penternakan burung puyuh menggunakan sangkar bertingkat. 

Selain itu, En Kamisan juga berkongsi pantang-larang sepanjang proses penternakan burung puyuh, seperti burung-burung ini sensitif pada bunyi yang kuat, selain perlunya kepada pemasangan lampu-lampu sekitar sangkar agak telur burung puyuh tidak dicuri pemangsa seperti tikus. 

Sesi ini diteruskan lagi dengan lawatan ke lokasi cadangan bagi taman burung puyuh ini. Lakaran awal, serta rekabentuk awal juga dibincangkan bersama komuniti dengan bantuan pakar dan para pensyarah. Kemudiannya pelan taman burung puyuh telah direka bentuk dari pelbagai sudut pandang. Program ini akan disambung pada sesi seterusnya bagi membina taman burung puyuh ini pada bulan November 2022.

Program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada komuniti sekolah, terutama pelajar berkeperluan khas, serta dapat memupuk minat mereka dalam meneroka bidang keusahawan di masa akan datang dengan pendedahan berkenaan penternakan burung puyuh sebagai salah satu punca pendapatan.

Perkongsian daripada pakar penternakan burung puyuh, iaitu En. Kamisan
Rekabentuk awal taman burung puyuh yang dicadangkan
Lawatan ke lokasi cadangan pembangunan taman burung puyuh bersama pakar dan komuniti
Pandangan sisi lain cadangan tapak taman burung puyuh
Sesi bergambar antara para guru, pelajar sekolah, pensyarah FABU dan pakar burung puyuh di akhir sesi perkongsian

Explore More