April 20, 2024

Search
Close this search box.

Faaiq Fauzan: Graduan UTM Kebanggaan Karimun, Indonesia

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 22 Nov. – Status sebagai pelajar antarabangsa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak menghalang Faaiq Fajari Fauzan untuk bergiat aktif dalam arena kepimpinan bersama-sama pelajar tempatan yang lain. Biasanya pelajar antarabangsa UTM lebih selesa untuk bergiat aktif di bawah naungan persatuan pelajar antarabangsa masing-masing.

Namun, naratif tersebut berjaya dipecahkan oleh jejaka ini apabila beliau mendapat peluang untuk menjadi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2019/2020. Satu pencapaian yang jarang-jarang dapat dilakar oleh pelajar antarabangsa di UTM.

“Latar belakang saya sebagai pelajar jurusan Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) digunakan dengan sebaiknya dalam membantu MPP sesi 2019/2020. Bersama rakan-rakan yang lain, kami membawa pendekatan inklusif dalam menawarkan perkhidmatan kepada warga UTM.

“Saya meninggalkan legasi MPP yang menyalurkan maklumat menerusi pendekatan data dan media infografik, sekali gus memudahkan warga UTM untuk memahami dan seterusnya memahami aspirasi yang dibawa. Pendekatan mesra media sosial lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 sedikit sebanyak membantu pelajar dalam mengharungi ujian dan kesukaran tersebut.

Selain MPP, Faaiq juga mencatat beberapa pencapaian cemerlang yang mengharumkan nama UTM di peringkat antarabangsa seperti tempat pertama ASEAN India Hackaton 2021, mendapat kedudukan 50 terbaik MonStar 2020 Young Talent Award dan mewakili UTM dalam World Indonesian Student Association Alliance 2019.

Kepimpinan beliau juga sememangnya sudah terserlah ketika di usia muda lagi, apabila beliau dipilih sebagai jawatankuasa paling muda dalam Indonesia Asian Games Organizing Committee (INASGOC), pada ketika usianya baru 18 tahun. Malah, beliau diberikan peranan sebagai Jawatankuasa Protokol dan Hubungan Antarabangsa Sukan Asia 2018, sekali gus mempunyai jalinan hubungan yang baik dengan Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) Malaysia.

“Antara kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika meraih dua anugerah dalam Anugerah Gemilang Mahasiswa 2020 (GEMA ’20). Dalam GEMA ’20, saya mendapat Anugerah Pemimpin Pelajar Antarabangsa Terbaik dan MPP Terbaik.

Ketika ditanya bagaimana beliau menguruskan masa belajar dan dalam masa yang sama aktif beraktiviti, ini reaksi beliau, “adalah penting untuk kita mengenalpasti yang mana satu keutamaan (priority) kita dalam satu-satu masa, sekali gus memudahkan perancangan dalam menyelesaikan satu-satu perkara atau kerja.

Anak kelahiran Tanjung Balai, Karimun ini juga menyimpan harapan untuk menjadi pengasas syarikat awalan (startup) dalam aplikasi digital dan teknologi maklumat, di samping mempunyai hasrat menubuhkan yayasan untuk memperkasa pendidikan kanak-kanak di Karimun.

Terus berbakti Faaiq Fajari Fauzan, bintang Karimun dalam pembikinan.

Explore More