April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Nov. – Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) merakam sejarah di mana UTM tetap menjadi pilihan di hati ahli keluarga pasangan Haji Zahar Atan dan Hajah Latifah Harun untuk menyambung pengajian dari peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah.

Mengimbau memori 41 tahun dahulu dalam Majlis Konvokesyen UTM ke-5 tahun 1981 menjadi detik cinta pandang pertama antara dua orang graduan UTM. Zahar merupakan graduan Senibina serta penerima Anugerah Pelajar Terbaik Senibina. Manakala Latifah, graduan Kejuruteraan Mekanikal merupakan pelajar cemerlang dan satu-satunya pelajar perempuan di dalam kelasnya ketika itu.

Setelah tamat pengajian, pasangan ini telah mendirikan rumahtangga. Zahar berkhidmat di Jabatan Kerja Raya sebagai arkitek dan jawatan terakhir disandang sebelum bersara adalah Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya. Latifah pula menyandang jawatan pembantu pensyarah UTM dan ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di UTM Kuala Lumpur.

Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya, belum sempat menamatkan pengajian Sarjana, Zahar dan Latifah beserta dua orang anak mereka yang masih kecil mengalami kemalangan jalan raya yang tragis pada Ogos 1986. Latifah yang sedang hamil anak ketiga telah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Lebih memilukan lagi apabila beliau yang sedang hamil anak ketiga telah koma selama 6 bulan di Hospital Kuala Lumpur. Kandungan beliau berjaya diselamatkan melalui pembedahan ketika masih dalam keadaan koma. Walaupun doktor mengatakan harapan tipis untuk selamat, selepas lama menanti, akhirnya Latifah sedarkan diri namun ingatannya terjejas.

Beliau terpaksa berhenti dari pengajian berikutan tragedi ini. Atas keprihatinan yang mendalam, UTM telah memberikan pencen awal kepada beliau atas khidmat bakti dan kecemerlangan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Legasi kecemerlangan diteruskan dimana 4 daripada 5 orang anak-anak dan dua orang menantu pasangan ini merupakan alumni UTM.

  • Anak sulung, Ammar bin Zahar – 2006 (Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal)
  • Anak kedua, Zaid bin Zahar – 2008 (Sarjana Muda Ukur Bahan); 2022 (Sarjana Pengurusan)
  • Anak keempat, Muhammad Basysyar bin Zahar – 2011 (Diploma Kejuruteraan Awam); 2013 (Sarjana Muda Kejuruteraan Awam)
  • Anak bongsu, Syakirah binti Zahar – 2022 (Sarjana Falsafah – Akademi Tamadun Islam)

Menantu-menantu pula:

  • Zilal binti Saari – 2009 (Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Pengajian Islam); 2015 (Doktor Falsafah Fiqh Sains Teknologi)
  • Sharfatihah binti Shamsir Alam – 2013 (Sarjana Muda Kejuruteraan Awam); 2021 (Sarjana Kejuruteraan (Struktur)
Keluarga Alumni UTM. Dari kiri: Dr Zilal Saari (menantu), Zaid Zahar, Haji Zahar Atan, Hajah Latifah Harun dan Syakirah Zahar  sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-66 yang berlangsung pada 23-26 November 2022.

Begitulah aturan Ilahi. Pasangan ini sentiasa memberikan galakan kepada anak-anak untuk terus menyambung pengajian ke Menara Gading. Doa ayahanda dan bonda mengiringi kejayaan anak-anak dan menantu. Semoga titik peluh dan jerih payah menuntut ilmu di peringkat tertinggi mendapat keredhaan dari-Nya.

Bergambar berlatarkan Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru
Doa ibubapa mengiringi kejayaan anak-anak dan menantu. Menyarungkan jubah graduasi sebagai simbolik pembelajaran sepanjang hayat.

Explore More