April 25, 2024

Search
Close this search box.

Cerapan Gerhana Bulan: Peluang Warga UTM Dalami Ilmu Astronomi dan Falak Syari’e

Oleh: Mohammad Hanif Bin Hamden, Aimi Binti Musa, Othman Bin Zainon

JOHOR BAHRU, 8 Nov. – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) telah melaksanakan Kuliah Astronomi Islam Siri ke-5 berbentuk Syarahan Perdana di Dewan Senat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bertajuk ‘Demi Masa: Evolusi Kalendar dan Bagaimana Tarikh Bulan Islam Ditentukan’.

Syarahan Perdana ini telah disampaikan of Dato’ Sr Dr. Azhari Bin Mohamed yang merupakan Profesor Adjung UTM. Program ini merupakan program kerjasama antara Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Persatuan Mahasiswa Ukur Tanah UTM (PEMETA) dan Kelab Astronomi UTM.

Dato’ Sr Dr. Azhari Mohamed menyampaikan syarahan beliau kepada mahasiswa UTM di Dewan Senat UTM, Johor.

Program ini turut dihadiri oleh wakil daripada RISM, Sr Dr. Mohd Yunus Bin Mohd Yusoff, dan juga wakil daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan daerah Johor, Sr Shafiq Azwan Bin Zalil. Antara matlamat program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai ilmu Falak Syari’e dan Astronomi.

Kehadiran para mahasiswa UTM dan tetamu luar Ketika program syarahan perdana amat memberangsangkan.

Program yang berlangsung pada 8 November 2022 ini juga dilaksanakan bersama-sama cerapan gerhana bulan pada sebelah petang di mana tarikh tersebut merupakan tarikh berlakunya gerhana bulan. Oleh yang demikian, mahasiswa dan mahasiswi Tahun 3 daripada Kursus Astronomi Lapangan Kejuruteraan Geomatik dan staf Makmal Ukur Kejuruteraan dan Kadaster (UKK) telah menyediakan alat cerapan seperti teleskop dan teodolit bagi aktiviti cerapan gerhana.

Profesor Adjung, Dato’ Sr Dr. Azhari Mohamed bersama-sama mahasiswa UTM dalam menjayakan program cerapan gerhana bulan.

Walaupun gerhana bulan tidak kelihatan pada waktu tersebut di atas faktor cuaca iaitu mendung dan berawan, program ini telah mendapat sambutan yang meriah daripada mahasiswa dan mahasiswi UTM mahupun daripada kalangan staf UTM. Ianya juga secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada para mahasiswa dan orang ramai yang hadir untuk mempelajari cara-cara penggunaan alat astronomi seperti teleskop dan juga alat ukur iaitu teodolit.

Penglibatan staf makmal ukur di dalam program cerapan gerhana bulan dengan mendirisiapkan alat teleskop.

Diharapkan agar program Syarahan Perdana dan Cerapan Gerhana Bulan ini dapat meningkatkan lagi minat masyarakat terhadap ilmu Falak Syari’e dan juga ilmu astronomi.

 

Explore More