Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Nur Syamimi Ab. Hamid

JOHOR BAHRU, 13 Okt. – Sempena ulang tahun penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang ke-50, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah melaksanakan Program Ramah Mesra bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan yang telah diadakan pada 13 Oktober bertempat di Jalan Denai 2, Kempas Baru.

Program ini, merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) bersama komuniti khususnya bagi golongan yang memerlukan.

Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan telah ditubuhkan pada 2007 dengan nama asalnya Pusat Jagaan Wanita Iman dan sehingga kini telah menempatkan lebih kurang 180 penghuni lelaki dan wanita di empat cawangan di Negeri Johor.

Penghuni terdiri daripada kalangan warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) yang menghidap penyakit seperti psikiatri, syndrome dan hyperactive.

Kebanyakan daripada mereka juga tiada waris.  Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor merupakan salah satu pusat rujukan untuk menempatkan mereka di tempat perlindungan yang sedia ada.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program adalah slot tazkirah oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif, Pengarah CCIN dan sesi perkongsian pengalaman menguruskan pusat jagaan oleh Encik Mohamad Saifullah Zolkarnain yang merupakan Pegawai Operasi di pusat ini.

Slot perkongsian ini memberi impak mendalam buat staf CCIN khasnya kerana berpeluang mendengar sendiri kisah kehidupan penghuni di pusat penjagaan ini.

Seterusnya program ramah mesra dengan menyantuni penghuni secara makan bersama sambil mendengar kisah dan luahan rasa hati mereka. Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan barang keperluan asas dan cenderamata kepada staf dan penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan.

Semoga dengan sumbangan dan aktiviti yang telah dijalankan diharap dapat menggembirakan dan menceriakan penghuni di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga UTM dan komuniti.

Program ini juga diharap dapat menanam rasa syukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan dan  menjadi ibrah untuk  sentiasa menyantuni dan menghormati orang tua dan golongan istimewa yang merupakan amanah daripada Allah SWT yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua.

Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.

Dengan berkat kerjasama dan kesungguhan semua pasti dengan keizinan-Nya, segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan teratur. Semoga kita semua terus dilimpahi rahmat dunia dan keberkatan akhirat hendaknya.

Penyerahan barangan asas kepada Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif, Pengarah CCIN, UTM.

Penyerahan bungkusan sumbangan barangan asas kepada Pegawai Operasi iaitu Encik Mohamad Saifullah  Zolkarnain pada 12 Oktober 2022.

Sesi ramah mesra bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan.

Explore More