April 26, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Corrienna Abdul Talib dan Nurul Nazatul Shahizah Mahamad Shobri

Pada 15 Oktober 2022, bertempat di Perpustakaan Sultan Ismail telah diadakan Pertandingan Reka bentuk Bot Banjir Mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) yang melibatkan penyertaan murid-murid sekolah rendah daripada beberapa daerah di negeri Johor. Para peserta dinilai berdasarkan video 3 minit, pembentangan secara fizikal dan penilaian bot banjir mesra OKU yang dibina.

Pertandingan tersebut merupakan anjuran bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia di bawah geran KTPRIG/2021/00038 dengan Kerjasama Majlis Bandaraya Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Persatuan STEM Negeri Johor dan Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor.

Pengarah program, Dr. Corrienna Abdul Talib, pensyarah kanan di FSSH menyatakan bahawa objektif pertandingan adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap keperluan golongan OKU ketika banjir disamping mengaplikasikan konsep keapungan dan ketumpatan yang telah dipelajari.

Pertandingan ini diadakan susulan perkongsian ilmu oleh Dr. Nik Mohd Ridzuan Bin Shaharuddin dan Dr. Muhammed Amirul Asyraf Bin Hasnan, pensyarah kanan daripada program Senibina Kapal dan Kejuruteraan Luar Pantai, FKM.

Dr. Nik Mohd Ridzuan yang merupakan ketua projek geran KTPRIG/2021/00038 telah menyampaikan taklimat kepada guru-guru sekolah rendah berkaitan cara-cara rekabentuk bot melalui perkongsian video dan penerangan tentang peraturan pertandingan. Seramai tiga orang pelajar pasca siswazah dan tiga pelatih telah terlibat dalam penganjuran ini.

Pertandingan ini juga merupakan salah satu strategi bagi mempromosi program Senibina Kapal dan Kejuruteraan Luar Pantai yang ditawarkan oleh pihak FKM dibawah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera yang diketuai oleh Ts. Dr. Haris Ahmad Bin Israr Ahmad.

Proses penilaian pertandingan ini diketuai oleh Dr. Arifah Binti Ali daripada FKM. Perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh En. Junit bin Yasir, Penyelaras STEM Negeri Johor. Beliau menyatakan bahawa pertandingan STEM reka bentuk bot banjir mesra OKU ini adalah yang pertama diadakan melibatkan murid-murid sekolah rendah di negeri Johor.

Berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada guru dan murid yang menyertai pertandingan ini, terdapat peningkatan dalam aspek sikap, pengetahuan dan impak program selepas pertandingan dijalankan. Dapat dirumuskan bahawa kesedaran terhadap golongan yang berkeperluan khas dan motivasi untuk membantu insan yang memerlukan bantuan semakin meningkat.

Peserta juga lebih berkeyakinan dan seronok menyertai pertandingan ini. Tambahan pula, terdapat peningkatan dalam pengetahuan STEM dan pengendalian bot penyelamat OKU semasa banjir. Pertandingan yang dijalankan juga memberikan impak yang positif kerana meningkatkan pelbagai kemahiran pelajar seperti kreativiti saintifik, komunikasi dan penyelesaian masalah.  Guru dan pelajar memperoleh pengalaman baharu dalam menyertai aktiviti STEM dan seterusnya menambahkan minat mereka terhadap STEM.

Acara disudahi dengan penyampaian hadiah berupa wang tunai dan hamper kepada para pemenang. Tempat pertama  dimenangi oleh  Sekolah Kebangsaan LKTP Layang-Layang. Manakala, tempat kedua pula dimenangi Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2. Tempat ketiga, keempat dan kelima menjadi milik Sekolah Kebangsaan Senggarang, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kangkar Pulai dan Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya.

Semakan bot oleh para juri
Pertandingan pitching
Pengujian bot banjir mesra OKU
Pengujian bot banjir mesra OKU
Tempat Pertama: SK LKTP Layang-layang
Tempat Kedua: SK Taman Kota Kulai 2
Tempat Ketiga: SK Senggarang
Tetamu jemputan, peserta dan ahli jawatankuasa Pertandingan Rekabentuk Bot Banjir Mesra OKU

Explore More