April 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM yang telah diwakili oleh pejabat UTM Construction Research Centre (UTM CRC) bersama-sama warga komuniti Kg. Kuala Telang telah berjaya membina semula sebuah rumah salah seorang pelajar UTM menggunakan teknologi Interlocking Hollow Brick System (IHBS) di bawah Projek CSR: Pembinaan Rumah Adik Syafiq. Rumah Syafiq Isyraf bin Salehuddin iaitu pelajar UTM program Diploma Sains Komputer (Multimedia) telah musnah terbakar pada Ogos 2020.

 

Inisiatif awal projek ini telah dilaksanakan oleh pihak Endowmen UTM di mana sebuah tabung kutipan khas telah dilancarkan bagi membolehkan pembangunan semula rumah adik Syafiq Isyraf. Tabung kutipan khas yang tersebut telahpun dilancarkan pada bulan Ogos 2020 yang mana telah berjaya mengumpul sumbangan dari pelbagai pihak sebanyak RM 61,362.

Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM kemudiannya telah melantik UTM Construction Research Centre (UTM CRC) sebagai Pasukan Projek Pembinaan Rumah Adik Syafiq di PT 5060, Kuala Telang, Lipis, Pahang bermula 25 April 2022 hingga 25 Julai 2022. 

Projek ini telah diketuai oleh Ts. Dr. Nor Hasanah bt. Abdul Shukor Lim yang mana merupakan salah seorang felo penyelidik di UTM Construction Research Centre dan juga seorang pensyarah kanan dari Fakulti Kejuruteraan Awam UTM Johor Bahru.

Hasil pembinaan rumah ini adalah kerjasama dan usaha dari banyak pihak yang terdiri dari kalangan pensyarah-pensyarah, staf-staf dan pelajar-pelajar UTM terutamanya dari Fakulti Kejuruteraan Awam UTM Johor Bahru. Projek ini juga melibatkan warga komuniti Kg. Kuala Telang yang mana telah bersama-sama menggembleng tenaga membina dan menyiapkan rumah ini. 

Projek pembinaan rumah yang berkeluasan 780 kaki per segi ini telah dibina menggunakan teknologi Interlocking Hollow Brick System (IHBS) yang dibangunkan oleh penyelidik UTM dengan kerjasama CREAM, CIDB Malaysia.

Dengan menggunakan teknologi Interlocking Hollow Brick System (IHBS), pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik ini berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan. Interlocking Hollow Brick System (IHBS) bukan sahaja mengurangkan masa pembinaan tetapi juga dapat mengurangkan kos pembinaan sehingga 50% berbanding kaedah pembinaan sedia ada. 

 

 

 

 

 

 

Menurut Pengarah Endowmen UTM iaitu Ybrs. Prof. Madya Dr. Yusof bin Boon, Projek CSR Pembinaan Rumah Adik Syafiq ini merupakan projek yang sangat unik dan istimewa kerana ianya hasil dari UTM, menggunakan teknologi dan tenaga kerja UTM untuk kesejahteraan pelajar UTM.

Idea asal rekabentuk rumah tersebut juga adalah ilham daripada Ybrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan bin Haji Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM. Projek ini juga merupakan satu inisiatif untuk mengangkat martabat UTM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan terkehadapan dan menjadi rujukan di peringkat komuniti, kebangsaan dan antarabangsa. 

Hasil daripada projek ini, maklum balas yang diterima daripada warga komuniti Kg. Kuala Telang adalah sangat baik. Mereka sangat teruja dengan teknologi pembinaan baru yang diperkenalkan oleh UTM ini.  

Bahkan, ada warga komuniti yang telahpun menggunapakai Interlocking Hollow Brick System (IHBS) untuk kerja-kerja renovasi rumah mereka. Hal ini sedikit sebanyak telahpun memberi pendedahan dan impak kepada komuniti tentang teknologi baru dalam bidang kejuruteraan pembinaan.

Explore More