Disember 27, 2024

UTM dan UTHM Meterai Persefahaman bersama Huawei dan TM, Rintis Pembelajaran Digital Bertunjangkan Teknologi Kecerdasan Buatan

Oleh: Nur Arbainah Shamsul Annuar

BATU PAHAT, 18 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama antara keempat-empat pihak dalam merintis pembelajaran digital bertunjangkan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negeri Johor.

Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung di UTHM dengan disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Sementara itu UTM, UTHM, Huawei Malaysia dan TM masing-masing diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli bin Md Illias, Naib Canselor UTHM, Prof.Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Encik Michael Yuan dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Puan Shazurawati Abd Karim.

Selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam mempercepat agenda pendigitalan pendidikan tinggi di negeri Johor, UTM dan UTHM menjadi perintis modul pembelajaran digital Universiti Awam dengan penubuhan Makmal Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan yang dikuasakan oleh Cloud Alpha Edge (CAE).

Makmal ini dilengkapi dengan keupayaan AI serta sokongan keselamatan siber. Pihak Huawei dan TM juga telah menyumbangkan peralatan makmal (komputer, kamera, pembesar suara dan papan tulis digital) untuk memacu penggunaan AI. Sumbangan ini secara umumnya bertujuan menggalakkan pembangunan bakat digital di negara ini.

Prof. Dr. Rosli berkata dalam sesi sidang media, “Kerjasama yang dijalinkan ini akan dapat meningkatkan lagi proses pendigitalan di UTM bukan sahaja daripada aspek pembelajaran malah merangkumi aspek pengurusan serta pembangunan bakat dalam meningkatkan inovasi seluruh komuniti UTM”.

Menurut Puan Shazurawati, “Kolaborasi strategik antara Telekom Malaysia Berhad dengan dua universiti awam terbesar di Johor ini adalah sebahagian daripada usaha TM sebagai pemacu digital negara, dalam merealisasikan aspirasi Johor untuk melahirkan Bangsa Johor yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kukuh jati diri, berinovasi dan berstrategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Encik Micheal Yuan berkata, “Kerjasama ini akan memberi pendedahan kepada pelajar universiti dengan kepakaran dalam Kecerdasan Buatan (AI) melalui solusi perkhidmatan awan, untuk menarik dan memperkasakan bakat digital bagi melahirkan lebih ramai pakar teknologi dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).”

Naib Presiden Eksekutif TM One, Puan Shazurawati Abd Karim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli bin Md Illias; Naib Canselor UTHM, Prof.Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan Timbalan Pengarah Huawei Malaysia, Encik Lim Chee Siong ketika sesi sidang media.

Explore More