November 22, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Asma Nurul ‘Aqilah Mahpuz, Nurul Aini A Kadir, Lavine Wong, Hong Ching Yi

JOHOR BAHRU, 5 Okt. – Trend peningkatan isu kesihatan mental era pasca pandemik memerlukan tindakan lanjut daripada pelbagai pihak. Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 telah mendapati golongan B40 lebih cenderung mempunyai masalah kesihatan mental berbanding golongan M40 dan T20. Walaubagaimanapun, setiap individu berpotensi untuk mengalami masalah mental yang sama antara satu sama lain.

Selaras dengan itu, satu program berkenaan dengan pengurusan kesihatan mental mahasiswa telah dijalankan di peringkat universiti. Program ini telah disampaikan secara atas talian oleh Dr. Nor Akmar Nordin, Pensyarah Kanan di UTM  dan Dr. Zulfikar Ahmad,Pengarah Pusat Kaunseling UTM.

Melihat daripada perspektif psikologi, Dr. Nor Akmar berkata antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah berkenaan dengan tahap kebahagiaan individu itu sendiri. Hal ini termasuklah dengan menerima segala emosi samaa da emosi positif mahupun negatif yang dialami oleh seseorang individu.

Mengulas dengan lebih lanjut, emosi individu dilihat memainkan peranan penting sebagai pemangkin dalam menghadapi masalah yang akan datang.

Selain itu, masalah komunikasi dilihat sebagai sebab utama mahasiswa tidak mendapatkan bantuan profesional dalam menyelesaikan masalah kesihatan mental mereka. Bagi menyelesaikan masalah ini, satu medium komunikasi yang berkesan antara pensyarah dan mahasiswa perlu diwujudkan bagi memastikan mesej dapat difahami oleh kedua belah pihak.

Pada masa yang sama, perkara seperti menganalisis keadaan serta mempertimbangkan situasi di antara kedua belah pihak perlu diberi perhatian.

Namun begitu, sebelum mengakhiri program, Dr. Zulfikar Ahmad menegaskan bahawa mahasiswa seharusnya mendapatkan rehat yang secukupnya. Mahasiswa seringkali memandang enteng tentang hal ini terutamanya apabila mereka mengejar ‘due date’ yang semakin hampir.

Beberapa tips yang telah dikongsikan dan boleh digunakan oleh mahasiswa adalah seperti berhenti sejenak daripada apa yang sedang dilakukan, tarik nafas, dan melakukan perkara yang disukai. Rehat adalah apa yang diperlukan oleh seseorang individu untuk mendapatkan momentum belajar kembali.

Program seumpama ini sememangnya memberikan manfaat terutama dalam aspek psikologi mahasiswa bagi meningkatkan motivasi mereka. Dalam usaha untuk membendung masalah kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa, pihak universiti khususnya perlu merangka lebih banyak inisiatif termasuklah dengan mewujudkan talian kecemasan kesihatan mental kepada mahasiswa.

 

Explore More