April 20, 2024

Search
Close this search box.

Komuniti Pangsapuri Kenari Peroleh Manfaat Hasil Projek Pemindahan Ilmu Kebun Lestari UTM

Oleh: Marina Zainal

JOHOR BAHRU, 7 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyambut ulangtahun penubuhan yang ke-50 pada tahun ini dengan tekad dan iltizam untuk terus unggul sebagai Institusi Pengajian Tinggi negara.

Bersempena sambutan tersebut  Universiti telah meluluskan dana melalui Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN) untuk  mengadakan program bersama komuniti bagi membantu golongan memerlukan melalui pembahagian barangan kering dan keperluan asas.

Sehubungan dengan itu pihak CCIN mengambil initiatif untuk mengadakan program-program khidmat masyarakat ini yang bertujuan mendekatkan warga Universiti bersama Komuniti setempat yang memerlukan, disamping dapat mengeratkan silaturrahim antara warga UTM, pelajar dan komuniti.

Daripada jumlah dana tersebut telah diagihkan mengikut aktiviti  dan komuniti yang telah dikenalpasti. Aktiviti yang dijalankan adalah secara berperingkat yang dimulai dengan Program Ihya Ramadan 1443H/2022 yang telah diadakan sepanjang bulan Ramadan.

Selaras dengan inisiatif UTM Prihatin, pihak CCIN meneruskan lagi Program Bersama Komuniti dengan menyantuni penghuni Pangsapuri Kenari, Kangkar Pulai yang  merupakan komuniti  di bawah inisiatif program Bangsa Johor Bahagia melalui projek Laman Ceria dan Projek KTPRIG – Pemindahan Ilmu Kebun Lestari bagi membantu membangunkan masyarakat dari pelbagai aspek untuk kesejahteraan bersama.

Program telah diadakan pada 7 Oktober 2022 di Laman Ceria Kenari dengan kerjasama pihak Perbadanan Pangsapuri Kenari.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Program Motivasi “Saya Pelajar Cemerlang” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif (Pengarah CCIN). Seramai 35 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak penghuni Pangsapuri Kenari turut serta menjayakan program tersebut.

Program ini bertujuan membina matlamat dan memberi semangat motivasi kepada pelajar, kepentingan ilmu demi masa depan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Melalui program ini juga, pihak CCIN telah mengagihkan sumbangan barangan asas kepada 87 keluarga yang telah dikenalpasti disamping sumbangan berupa pakaian Prelove daripada Kedai UTM Charity Shop.  Pegawai dan staf CCIN juga turut hadir sama sepanjang program berlangsung.

Semoga dengan sumbangan daripada UTM melalui CCIN ini membawa 1001 manfaat kepada masyarakat setempat.  Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.

Dengan berkat kerjasama dan kesungguhan semua pasti dengan keizinan-Nya, segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar dan teratur. Semoga kita semua terus dilimpahi rahmat dunia dan keberkatan akhirat hendaknya.

Program Motivasi “Saya Pelajar Cemerlang” dan Pemindahan Ilmu bersama anak-anak penduduk Pangsapuri Kenari, Kangkar Pulai.

Penyerahan  barangan asas kepada sebahagian 87 keluarga yang layak menerima sumbangan yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif, Pengarah CCIN UTM.

Penyerahan 87 bungkusan sumbangan barangan asas kepada Pengerusi Perbadanan Kenari, En Rusli bin Othman pada 6 Oktober 2022.

Sumbangan Prelove daripada UTM  Charity Shop berupa pakaian dan buku.

Explore More