Mei 9, 2024

Search
Close this search box.
Sebahagian pelajar baharu yang mendaftar di UTM Johor Bahru hari ini.

Oleh Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 10 Okt. – Selepas dua tahun Minggu Mesra Mahasiswa (3M) dijalankan secara dalam talian, akhirnya 3M dapat dijalankan kembali secara bersemuka. Secara tidak langsung, ia mengembalikan rasa keterujaan warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam meraikan dan menyantuni pelajar baharu sesi akademik 2022/2023.

Sebahagian mahasiswa baharu yang mendaftar di kampus UTM Johor Bahru hari ini.

UTM telah menerima seramai 3,164 pelajar baharu untuk sesi pengambilan kali ini. Daripada jumlah ini 3,037 pelajar akan mendaftar pengajian di kampus UTM Johor Bahru, manakala 127 pelajar di kampus UTM Kuala Lumpur.

Turut menarik perhatian adalah statistik pelajar perempuan yang dilihat melebihi pelajar lelaki. Pengambilan kali ini mencatatkan bilangan pelajar perempuan seramai 1,920 orang, berbanding pelajar lelaki sebanyak 1,638 orang khususnya di kampus Johor Bahru. Kesemua pelajar ini akan mengikuti pengajian dalam 58 program Sarjana Muda yang ditawarkan di 12 fakulti.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, pengambilan pelajar baharu sesi ini turut melibatkan seramai 567 pelajar antarabangsa daripada hampir 35 buah negara antaranya Bangladesh, Brunei Darussalam, China, Ecuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yaman.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi menyantuni pelajar baharu di Kolej Perdana

 

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin bersama-sama pegawai kanan universiti yang lain meluangkan masa melakukan tinjauan dan menyantuni ibu bapa dan keluarga pelajar baharu di tiga buah kolej kediaman; Kolej Tuanku Canselor (KTC), Kolej Perdana (KP) dan Kolej 9 & 10 (K9&10).

Keterbatasan Bukan Halangan Teruskan Perjuangan Menuntut Ilmu

Pada sesi akademik kali ini, UTM turut menerima lapan (8) pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) yang akan ditempatkan di kolej kediaman kondusif, khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan kelangsungan kehidupan seharian mereka.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin bersama-sama pegawai kanan universiti yang lain meluangkan masa menyantuni dua orang pelajar dalam kategori OKU, iaitu saudari Raveenah Ramesh (ketidakupayaan kaki, menggunakan kaki palsu) dan saudari Nur Hanis Zainalabidin (pseudoachondroplasia, keterbatasan pergerakan yang memerlukan bantuan tongkat dan kerusi roda).

Prof. Datuk Fauzi dan Prof. Shamsul menyantuni Nur Hanis dan keluarga di kolej kediamannya Kolej 9 & 10.

Kedua-dua pelajar ini ditempatkan di Kolej 9 yang mempunyai kemudahan mesra OKU, sekali gus menyokong Dasar Inklusif OKU di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diperkenalkan oleh pihak KPT sebelum ini.

Raveenah bersama ibu dan bapa sewaktu dikunjungi NewsHub.

Kolej Angkat Wujudkan Suasana Kampus Selamat dan Sejahtera

UTM turut melaksanakan inisiatif Kolej Angkat yang merupakan pelan sinergi antara kolej kediaman dan pusat tanggungjawab (PTJ) serta entiti akademik di UTM pada 26 September lalu dalam usaha mewujudkan suasana kampus yang kondusif, sejahtera, selamat dan ceria.

Aktiviti gotong-royong dan pelaksanaan program Kolej Angkat baru-baru ini.

Inisiatif ini akan mewujudkan suasana kampus yang kondusif, selesa dan sejahtera untuk warga UTM, sekali gus memenuhi penanda aras ekosistem kampus selamat sebagaimana yang telah digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 

Explore More