Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

Kepakaran UTM Bangunkan Sistem Pintar Hidroponik Beri Manfaat kepada Komuniti Pangsapuri Jasa

Oleh: Siti ‘Aisyah Binti Abd Wahid, Ts. Nasarudin Bin Ahmad dan Prof. Madya Ts. Dr. Norzanah Binti Rosmin

JOHOR BAHRU, 24 Sept.Centre of Electrical Energy Systems (CEES), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penduduk Pangsapuri Jasa dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah menganjurkan Bengkel Pemindahan Ilmu Pertanian Secara Hidroponik kepada komuniti Pangsapuri Jasa, Taman Mutiara Rini. Penganjuran program tersebut turut dibantu oleh Pejabat Pertanian Daerah Johor Bahru.

Projek yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr Dalila Binti Mat Said ini pada mulanya dibiayai oleh dana Program Pemindahan Ilmu Geran Teknologi Penyelidikan (UTM KTP-RIG) dan kemudiannya telah mendapat dana padanan sebanyak RM20,000 daripada MBIP melalui Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 2.0 (IPRK 2.0). Pejabat Pertanian Daerah Johor Bahru dan Suncrox Solar Malaysia juga terlibat dalam memberikan sokongan dan khidmat nasihat sepanjang projek ini berjalan.

Program pemindahan ilmu ini telah dimoderasikan oleh Ketua Sub Projek 1, Prof. Madya Ts. Dr. Norzanah Binti Rosmin yang sentiasa menceriakan suasana dengan memberikan pantun kepada penceramah di penghujung setiap sesi ceramah. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Faizal Bin Buang, Setiausaha komuniti hidroponik Pangsapuri Jasa.

Seterusnya, bagi memperjelas objektif usaha projek komuniti ini kepada semua pihak yang terlibat, ucapan dan penerangan berkaitan projek telah disampaikan oleh Ketua Projek. Program turut diserikan dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi komuniti hidroponik Pangsapuri Jasa, En. Zanial Bin Salim.

Menurut Ketua Projek, sistem tanaman hidroponik yang dilengkapi dengan sumber tenaga solar dan kawalan IoT dapat mengurangkan jejak karbon dan tidak mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar, manakala proses pengumpulan maklumat pula lebih cepat tanpa memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Pertanian secara hidroponik ini sepatutnya tidak menjadi halangan untuk diaplikasikan sama ada secara hobi atau komersial, terutama oleh penduduk bandar yang mempunyai kekangan ruang dan masa.

Bagi memastikan pengisian program memberi manfaat kepada pihak komuniti, sebanyak tiga sesi ceramah telah diaturkan oleh penganjur. Ceramah pertama telah  disampaikan oleh En. Safwan Bin Shaari, Pegawai Perancang Bandar dan Desa dari MBIP berkaitan ‘Inisiatif Iskandar Puteri Rendah Karbon’. Dalam ceramah beliau, inisiatif-inisiatif terhadap kaedah pengurangan karbon di Malaysia dan contoh-contoh projek menarik telah dikongsikan kepada semua peserta.

Ceramah kedua pula telah disampaikan oleh En. Shahnon Bin Saian, Penolong Pegawai Agen Pengembangan Tanaman dari Pejabat Pertanian Daerah Johor Bahru  berkaitan ‘My Good Agricultural Practices Scheme (myGAP)’. Dalam ceramah tersebut, beliau telah berkongsi mengenai prosedur yang perlu diketahui atau dilaksanakan bagi memohon pensijilan myGAP untuk tujuan pengkomersilan tanaman.

Akhir sekali, perkongsian mengenai bagaimana tanaman secara hidroponik dapat dijalankan dengan jayanya telah disampaikan oleh En. Abdul Aziz Bin Ishak, Pengarah Mutiara Agro Farm Enterprise melalui ceramah bertajuk  ‘Kaedah Tanaman Sayuran Secara Hidroponik’.

Peserta program yang terdiri daripada penduduk setempat diharapkan dapat memperolehi ilmu pertanian berasaskan hidroponik dan pendedahan berkaitan kepentingan teknologi dalam pertanian. Bagi menarik perhatian dan pembabitan peserta ketika program berlangsung, hadiah cenderahati turut diberikan kepada peserta yang berjaya menjawab soalan kuiz selepas setiap sesi ceramah. Aktiviti ini tidak lain adalah bertujuan untuk mengukuhkan dan juga menguji kefahaman peserta.

Turut hadir bersama-sama dalam bengkel ini ialah Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), En. Norizam Bin Tan, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, En. Rohaizat Bin Said, Ketua-ketua Sub Projek iaitu Dr. Siti Maherah Binti Hussin dan Ts. Dr. Nik Noordini Binti Nik Abdul Malik, wakil dari Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM, En. Md Yani Bin Kasiren dan juga ahli-ahli projek yang lain.

Maklum balas yang diberikan oleh peserta selepas program jelas menunjukkan bahawa program ini telah dapat memberi impak ke atas mereka bukan sahaja dari segi pertambahan ilmu pertanian secara hidroponik, malah pemahaman mengenai kepentingan aplikasi teknologi dalam pertanian.

Bagi menjadikan program ini lebih unik dan bermakna, pihak penganjur telah mengagih-agihkan sebahagian hasil tuaian pertama sayur-sayuran hidroponik yang segar di Pangsapuri Jasa secara percuma kepada semua penceramah dan peserta program yang hadir pada hari tersebut. Pengerusi komuniti hidroponik Pangsapuri Jasa turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

Kaunter pendaftaran mula menerima peserta seawal jam 9 pagi
Peserta khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan
Dari kiri: En. Norizam, En. Aziz, En. Safwan, dan Prof. Madya Ts. Dr. Dalila memetik sayuran di rumah tanaman hidroponik Pangsapuri Jasa
Dari kiri: Prof. Madya Ts. Dr. Dalila, En. Aziz, En. Shahnon, dan En. Zanial
Ahli-ahli projek bergambar kenangan dengan sebahagian hasil tuaian pertama
Bergambar kenangan di hadapan rumah tanaman hidroponik

 

Explore More