April 26, 2024

Search
Close this search box.

Inisiatif PENJANA KPT-CAP Bersama V.S. Industry Berhad Bantu Tingkat Kebolehpasaran Graduan UTM

 

JOHOR BAHRU, 16 Okt. – Majlis Penutup “EMS Industry Competency” di bawah inisiatif Program PENJANA KPT-CAP telah diadakan bertujuan menghargai usaha graduan yang telah mengikuti program ini sehingga mereka mendapat pekerjaan tetap dalam syarikat V.S. Industry Berhad.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha murni Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti dan industri dalam usaha memastikan graduan kita melalui proses peningkatan kemahiran (reskilling & upskilling) untuk menjadi graduan yang lebih kompeten pada masa hadapan.

Bagi menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan Program PENJANA KPT-CAP, Pusat Akademik & Pengalaman Pembelajaran, Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeaGue) dan V.S. Industry Berhad telah bekerjasama sekali lagi untuk menyediakan suatu program yang dinamakan “EMS Industry Competency Program” yang akan dilaksanakan oleh CAEL sebagai perlaksana latihan (training provider).

V.S. Industry Berhad telah bersetuju menyediakan 50 peluang pekerjaan sebagai jurutera bagi mereka yang berjaya mengikuti program ini.

Kualiti pendidikan tinggi negara yang diukur berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan adalah bagi memastikan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai kemahiran setanding dan mendapat permintaan tinggi daripada majikan dalam serta luar negara.

Oleh yang demikian, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Career Advancement Programme atau PENJANA-KPT CAP terbukti  sentiasa terkehadapan dalam membangunkan negara dengan melahirkan bakat dan tenaga kerja holistik untuk memacu perjalanan ekonomi negara.

Satu tayangan montaj berkenaan perjalanan program “EMS Industry Competency Program”  disiarkan untuk tatapan kepada semua tetamu yang hadir.  Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para graduan yang telah selesai menjalani program PENJANA KPT-CAP ini.

Penyampaian buah tangan dan cenderamata kepada syarikat V.S. Industry Berhad atas kerjasama erat dan sentiasa memberikan sokongan kepada UTM dalam memastikan para graduan, diberi pengalaman dan peluang untuk membina kerjaya yang cemerlang dan mencipta kejayaan dalam sektor perindustrian.

Pihak UTM iLeague menzahirkan rasa gembira, dan berbesar hati dengan apa-apa pelaksanaan inisiatif oleh pihak industri yang dapat membantu meningkatkan keupayaan dan kemahiran graduan kita. Apatah lagi apabila kemahiran yang diberikan itu adalah selari dengan keperluan dan kehendak industri.

Semoga ianya dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang demi kepentingan mewujudkan hubungan baik jangka panjang antara universiti dan syarikat-syarikat perindustrian dalam dan luar negara.

 

Explore More