Disember 22, 2024

Penyelidik UTM dan INFRA Realisasikan Pembangunan Modul Latihan Pelan Tindakan Strategik Desa

Oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid

JOHOR BAHRU, 8 Okt. – Dua orang staf akademik dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM, Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid dilantik menjadi fasilitator lawatan verifikasi untuk projek rintis Pelan Tindakan Strategik Desa (PTSD) oleh Bahagian Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Komuniti (BPDPK), Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Lawatan verifikasi ini juga merupakan aktiviti yang dirancang setelah bengkel Siri 3 PTSD yang telah dijalankan sebelumnya pada 20-22 September 2022 bertempat di Kampus Induk INFRA di Kajang, Selangor.

Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan kepada barisan fasilitator dan peserta bengkel Kajian Rintis PTSD yang bertempat di Kampus Latihan INFRA di Kajang.

Rentetan daripada bengkel berkenaan, satu lawatan verifikasi telah dijalankan oleh fasilitator UTM dan pegawai INFRA ke Kampung Air Puteri, daerah Mersing, Johor pada 6 Oktober 2022. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengesahkan dapatan analisis SWOT oleh wakil penduduk sewaktu bengkel di INRA telah dimurnikan di peringkat kampung.

Selain itu, lawatan verifikasi juga bertujuan untuk menyebar luas makluman awam berkenaan projek rintis PTSD kepada masyarakat kampung. Setelah perjumpaan bersama pemimpin dan masyarakat kampung, delegasi UTM dan INFRA turut dibawa melawat ke beberapa buah projek/aktiviti ekonomi yang terdapat di Kampung Air Puteri.

Antara projek ekonomi yang dilawati adalah perniagaan makanan sejuk beku dan kerepek “Crack Corner” yang diusahakan oleh Puan Zaraini dan kedua, “Spa Kabin Hutan” yang diusahakan oleh Puan Mila. Kedua-dua projek ini digerakkan oleh usahawan wanita di kampung tersebut dengan bimbingan dan bantuan pihak agensi kerajaan. Setelah itu, perniagaan telah dikembangkan dengan modal/simpanan sendiri oleh kedua usahawan selain mereka turut menggaji staf atau pekerja dalam kalangan penduduk kampung.

 

Sesi taklimat, ceramah dan bengkel oleh fasilitator UTM yang disertai pemimpin masyarakat serta wakil agensi kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan komuniti.

Bengkel PTSD Siri 3 yang dijalankan tersebut telah disertai oleh para pemimpin dan juga wakil penduduk melibatkan enam buah kampung terpilih dari negeri Kedah, Pahang, Perak, Selangor, Kelantan dan juga Johor. Pemilihan setiap kampung adalah berdasarkan kriteria MyDesa iaitu kampung-kampung yang mewakili tiga bentuk geografi iaitu kampung banjaran, kampung lembah dan kampung pesisir pantai. Bengkel selama 3 hari 2 malam di INFRA juga turut mensasarkan menghasilan analisis SWOT (strength, weakness, opportunity, threat) serta cadangan-cadangan tindakan strategik PTSD untuk setiap kampung berpandukan kepada enam teras SEPKKA (sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan agama). Hasil bengkel ini kemudiannya direkod dan dibawa pulang oleh setiap kampung untuk diperhalusi dan akan dibentang kepada fasilitator UTM dan INFRA ketika lawatan verifikasi yang akan menyusul.

 

Lawatan verifikasi ke Kampung Air Puteri, daerah Mersing bagi semakan analisis SWOT dan mengebarluas makluman umum kepada masyarakat kampung berkaitan PTSD.
Lawatan delegasi UTM dan INFRA ke beberapa projek ekonomi kampung yang diusahakan oleh penduduk Kampung Air Puteri, daerah Mersing.

Secara amnya, Kampung Air Puteri telah mengalami transformasi yang pesat dan berkembang daripada sebuah petempatan nelayan menjadi salah sebuah kampung pelancongan yang popular di daerah Mersing. Tidak hairanlah tempahan bagi penginapan sentiasa penuh dan para pengunjung yang berhajat untuk bercuti di sini perlu membuat tempahan beberapa bulan lebih awal. Selain pantainya yang cantik, para pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman unik sewaktu kunjungan seperti menangkap udang kara dengan tangan, merasai makanan tempatan yang popular seperti asam pedas, keropok lekor dan satay viral, berkunjung ke spa kabin hutan, glamping dan sebagainya. Pemilihan kampung ini sebagai salah satu kampung contoh telah memberikan input yang diperlukan ke arah memperkukuh cadangan strategik teras SEPKKA bagi projek rintis PTSD ini.

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor Bahru.

Explore More