April 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM-Universitas Muhammadiyah Palembang (UMP) Meterai MoU Jalinan Kerjasama Strategik

PALEMBANG, 12 September – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Muhammadiyah Palembang (UMP) Palembang, Indonesia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak.

Majlis menandatangani memorandum ini telah berlangsung di UMP yang diwakili oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, dan Rektor UMP, Dr. Abid Djazuli serta barisan pengurusan tertinggi Universiti.

Penandatangan MoU antara Prof Datuk Ahmad Fauzi (UTM) dengan Dr. Abid Djazuli (UMP).

Jalinan kerjasama yang dimeterai ini merupakan kesinambungan daripada perjumpaan antara pihak UMP dengan UTM sempena Siri Jelajah UTM Vice-Chancellor Asia Tour@Indonesia 1.0 pada Jun 2022 yang lalu serta pelbagai aktiviti seperti program mobiliti staf dan pelajar kedua-dua universiti yang dianjurkan sebelum ini.

Dari kiri: Wakil Rektor I UMP, Prof. Dr. Indawan, Rektor UMP, Dr Abid Djazuli, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ahmad Fauzi dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr Rosli.

Melalui jalinan kerjasama ini, Prof. Datuk Ahmad Fauzi percaya pelbagai program yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, perundingan serta penerbitan antara kedua-dua buah universiti juga dapat dipertingkatkan.

“Dengan forte yang dimiliki oleh UMP-UTM, saya juga yakin usaha ke arah pemerkasaan ketamadunan ilmu Islam bersandarkan sains, teknologi dan kejuruteraan juga dapat kita pelopori dan perluaskan demi kehidupan manusia sejagat,” kata beliau.

Sementara itu, Dr. Abid Djazuli turut menyatakan hasrat yang sama dan menyambut baik komitmen UTM untuk bersama UMP dalam mengangkat reputasi kedua-dua buah universiti di rantau Asia Tenggara seterusnya di peringkat global melalui kerjasama yang telah dipersetujui.

Antara bidang yang berpotensi yang boleh diangkat sebagai langkah permulaan kerjasama ini adalah di bawah aktiviti penyelidikan yang melibatkan UMP (Fakultas Kedokteran) dengan UTM dengan berfokuskan kepada Biomedical Engineering, Biomedical Informatics dan Natural Products. Turut dibincangkan adalah program “Knowledge/Technology Transfer Programmes” untuk komuniti dengan gabungan pelajar dan pensyarah daripada UMP dan UTM.

Perbincangan susulan sejurus majlis menandatangani MoU antara pihak UTM dengan UMP.

Turut hadir semasa perbincangan susulan pemeteraian kerjasama strategik berkenaan ialah  delegasi UTM yang terdiri daripada Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Abdul Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (UTM Kuala Lumpur), dan Ketua Pentadbiran Canseleri UTM, Jaffrey Samsul Bahrin.

Delegasi UTM bergambar kenangan bersama rakan strategik daripada UMP.

Explore More