April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM Ungguli Acara Bola Sepak Veteran Sempena SUKUM 2022

SERDANG, 24 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah tersendiri apabila mengungguli acara Bola Sepak Veteran selepas menewaskan Universiti Sains Malaysia (USM) 3-0 di pentas final  Sukan Staf Universiti Awam (SUKUM) di Stadium UPM. Skuad kendalian Dr. Muhammad Fauzee Hamdan itu bermula garang mendahului permainan menerusi Mohd Azhari Abdul Aziz pada minit ke-10 yang menyudahkan hantaran silang kapten Muhamad Fitri Amir Ramli.

Gol tersebut ternyata membakar semangat UTM yang menggandakan jaringan melalui gol ‘Puskas’ oleh Wan Mohd Norzaidi Wan Hussin pada minit ke-22. Tendangan percuma yang cukup kencang dari jarak 40 meter oleh tonggak pertahanan itu juga merupakan antara gol tercantik kejohanan.

Kapten pasukan Bola Sepak Veteran UTM, Mohamad Fitri Amir Ramli cuba mengasak pihak lawan.

USM cuba bangkit menguji gawang UTM melalui beberapa percubaan berbahaya namun diselamatkan oleh Megat Mohd Shahimi Noh, penjaga gol UTM.

UTM menoktahkan kejuaraan sulung apabila memperolehi gol ketiga melalui Mohd Fitri Amir yang menanduk masuk tendangan sudut Mohd Aidil Utoh pada minit ke-56. Kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil, Razlan Jofri Ali.

Kejayaan ini merupakan catatan sejarah baharu sebagai pasukan bola sepak UTM pertama yang berjaya menjulang kejuaraan sepanjang SUKUM diperkenalkan.

Dr. Muhammad Fauzee menghamburkan pujian buat seluruh anak buahnya yang memberi seluruh ‘jiwa raga’ dalam aksi final menentang USM, pasukan pilihan yang mempunyai rekod cemerlang di setiap SUKUM. “Alhamdulillah, perancangan dan persiapan rapi sejak Jun yang turut melibatkan sebanyak 17 perlawanan persahabatan juga berjaya membuahkan hasil,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik bersama UIAM dan UniSZA.

Wajah ceria skuad Bola Sepak Veteran UTM meaikan kemenangan.

Explore More