Disediakan oleh : Dr. Siti Nur Hannah Ismail
PUTRAJAYA, 8 Sept. – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya memenangi Anugerah Floria Garden Starlight kategori Universiti pada Pertandingan Rekabentuk Taman di Festival Bunga dan Taman Diraja – Royal Floria Putrajaya 2022.
Penyertaan tersebut menyaksikan konsep ‘Diversity of Life’ dibawa bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap ketandusan biodiversiti dalam hutan hujan tropika yang menjejaskan pelbagai habitat termasuk orkid. Konsep tersebut diharap dapat meningkatkan pengetahuan pengunjung terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan orkid melalui pemulihan ekosistem dan membangkitkan semula biodiversiti.
Anugerah tersebut dimenangi hasil titik peluh 10 orang pelajar dari Program Senibina Landskap FABU. Mereka mendapat bimbingan daripada dua orang pensyarah iaitu Dr. Siti Nur Hannah Ismail dan LAr. Noraishah Latif.
Pelaksanaan pameran landskap ini adalah secara reka dan bina (design and build). Kumpulan tersebut memulakan pembinaan landskap bermula 24 hingga 27 September, sebelum landskap tersebut dipamerkan di Royal Floria Putrajaya selama 2 minggu di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.
Pertandingan anjuran Perbadanan Putrajaya ini terbuka kepada pelajar sarjana muda dan pasca siswazah yang mengikuti program berasaskan reka bentuk di Malaysia. Secara tidak langsung, pertandingan ini menjadi platform bagi melihat kebolehan pelajar untuk mereka bentuk taman mengikut tema ‘Orkid’ yang telah ditetapkan.
Majlis penyampaian anugerah ini telah berlangsung dalam acara penutup Royal Floria di Putrajaya pada 6 September 2022.