April 20, 2024

Search
Close this search box.
Finalist

The Science of Flying Paper Plane anjuran FTIR UTM Serlahkan Pengetahuan Aerodinamik Generasi Muda

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Minggu Sains Negara (MSN) Keluarga Malaysia 2022 yang telah bermula pada minggu pertama bulan April 2022 sebagai salah satu inisiatif sains kebangsaan bagi meningkatkan minat dan kesedaran rakyat Malaysia kepada bidang sains, teknologi dan inovasi. Inisiatif ini akan berlangsung sehingga bulan Oktober 2022 dengan tema yang berbeza setiap bulan penganjuran.

Untuk membantu negara mencapai nisbah 60:40 pelajar bidang STEM berbanding pelajar bukan STEM, dan dalam masa yang sama menyediakan generasi pelajar masa depan yang berinovasi dalam teknologi, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) dengan Kerjasama Jawatankuasa Mahasiswa Pelajar Luar Kolej telah mengadakan program “The Science of Flying Paper Plane”. Program ini mampu menyediakan satu asas dalam pengaplikasian pengetahuan berkaitan STEM, inovatif dan kreatif.

Menurut Pengarah Program, Prof. Madya Ts. Dr. Habibah @ Norehan Hj. Haron, matlamat utama program ini adalah untuk menyemai dan menyemarakkan lagi minat pelajar terhadap STEM melalui pembelajaran melalui keseronokan dan melaksanakan eksperimen. Cabaran yang diberi melalui program ini adalah aplikasi pengetahuan asas sains, aerodinamik dan mekanik ke dalam penghasilkan produk fizikal yang mampu terbang jauh dan lama di udara.

Tiga objektif yang ingin dicapai adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam sains, teknologi dan inovasi di kalangan komuniti sekolah; meningkatkan minat dalam pendidikan STEM di kalangan pelajar sekolah melalui transformasi teori kepada aplikasi; dan membangunkan kefahaman pelajar bagaimana untuk integrasi pengetahuan kepada kemahiran melalui pembinaan kapal terbang kertas.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan program ini dilakukan dalam dua fasa, iaitu, fasa pertama berlangsung secara maya menerusi platform Webex pada 3 Ogos 2022, manakala, fasa kedua telah berlangsung secara bersemuka pada 10 Ogos 2022 yang bertempat di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL).

Tambahan beliau lagi, kejayaan pelaksanaan program boleh dilihat menerusi bilangan penyertaan yang diterima untuk kedua-dua fasa yang amat memberangsangkan dan diluar daripada jangkaan. Fasa pertama telah disertai lebih 1700 orang pelajar dari beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Selangor, Perak dan Sabah. Pelaksanaan program fasa pertama ini telah diisi dengan perkongsian ilmu berkaitan konsep dan teori sains dan kejuruteraan, pengaplikasian konsep-konsep aerodinamik dalam pembinaan kapalterbang kertas, dan kebolehupayaan penerbangan oleh pakar-pakar bidang dari industri dan universiti.

“Moga libatsama daripada komuniti sekolah, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, institusi pendidikan tinggi, dan pihak industri dalam pengendalian program ini dapat memberikan pengisian yang lebih menarik. Secara tidak langsung program yang dilaksanakan dapat merangsang pelajar-pelajar sekolah untuk menghayati aplikasi STEM dalam penghasilan sesuatu produk dan memberi gambaran wawasan untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang ini.” ujar beliau.

Pertandingan ‘The Science of Flying Paper Plane’ di peringkat sekolah-sekolah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi pelajar-pelajar berumur 12-15 tahun turut dilancarkan pada fasa pertama program. Peserta terlebih dahulu diminta melakukan eksperimen di sekolah seterusnya, untuk memilih rekabentuk kapal terbang kertas yang terbaik bagi mewakili sekolah mereka. Mereka juga perlu menghantar laporan eksperimen pasukan sebagai justifiksai pemilihan rekabentuk tersebut untuk dipertandingkan.

Pemenang-pemenang (finalis) di peringkat sekolah kemudiannya perlu menghadiri fasa kedua, iaitu pertandingan peringkat akhir yang dilakukan secara bersemuka di kampus UTM KL. Selain itu, dalam fasa kedua ini juga memuatkan acara demonstrasi teknologi Internet of Things (IoT) seperti Drones dan mempamerkan Virtual Reality Welding Kit hasil penyelidikan UTM, serta model enjin kapalterbang oleh kolaborator program dari Nilai University.

Seterusnya, program pada 10 Ogos ini telah mengenalpasti sebanyak 57 buah sekolah yang terpilih oleh pihak penganjur untuk bertanding di peringkat akhir. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan bagi program fasa kedua ini iaitu jarak penerbangan paling jauh dan tempoh penerbangan paling lama.

Bagi acara jarak paling jauh, SMK La Salle Petaling Jaya yang diwakili oleh Muhd Adzriel Haiqal, Muhd Aqeef Syazani dan Muhammad Danial telah dinobatkan sebagai juara dan diikuti oleh SMK Taman Sea dan SMK Taman Melawati. Manakala bagi kategori tempoh paling lama, tempat pertama jatuh kepada SMK Kelana Jaya yang diwakili oleh Ezlan Azariff, Puteri Qistina Dan Khairul Muhammad Haikal. Seterusnya tempat kedua berpihak kepada SMK Taman Maluri dan tempat ketiga diraih oleh kumpulan dari Kolej Genius @ Pintar Negara UKM.

Semasa program fasa kedua berlangsung, program sampingan turut diadakan iaitu Kahoot Quiz bagi menguji kefahaman konsep sains dan kejuruteraan berkaitan kapalterbang. Dalam acara Kahoot Quiz ini, Arween Ameera Binti Mohd Ramlee (SMK Assunta) telah memenangi tempat pertama manakala saguhati jatuh kepada Wenny A/K Jeffery (SK Assunta Satu) dan Lee Yuet Theng (SMJK Katholik). Sementara itu, Yuet Theng juga turut memenangi kuiz pusingan bonus.



Secara keseluruhan, maklumbalas positif dan memberangsangkan telah diterima daripada peserta dan pihak sekolah. Kebanyakkan guru yang mengiringi pasukan sekolah mereka dalam pertandingan ini, memaklumkan bahawa pelajar-pelajar mereka sangat teruja menyertai pertandingan dan bersemangat dalam melaksanakan pembinaan kapal terbang kertas ini, manakala keputusan menang atau kalah adalah perkara kedua bagi mereka.

Ilmu STEM yang bernilai kepada mereka adalah kini mereka lebih memahami bahawa konsep-konsep sains dan kejuruteraan juga dapat diaplikasi dalam permainan mudah serta menyeronokkan seperti kapalterbang kertas ini. Tambahan lagi, terdapat guru dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur turut menyatakan bahawa mereka akan meneruskan aktiviti seumpama ini di peringkat sekolahnya dengan menjadikan ianya sebagai satu wadah ko-kurikulum STEM di sekolah beliau.

Input positif lain yang diterima dari beberapa buah sekolah adalah permohonan untuk pihak penganjur mengadakan program ini secara tahunan, dan menganjurkan secara berasingan untuk peringkat sekolah rendah dan menengah. Manakala pihak Jabatan Pendidikan Negeri pula mencadangkan program ini dianjurkan sebagai program peringkat kebangsaan, memandangkan terdapat sekolah-sekolah di luar negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berminat untuk menyertai pertandingan ini.

Explore More