Disember 22, 2024

Oleh: PM ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar dan Ts. Dr. Syazwani Itri Amran

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah berjaya menganjurkan Karnival STEM Merdeka sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022. Program ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik agensi kerajaan negeri dan pihak swasta.

Program yang berlangsung pada 27-28 Ogos 2022 ini diadakan bertempat di Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi, Johor dan di beberapa sekolah berhampiran. Karnival STEM Merdeka ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Nagulendran a/l Kangayatkarasu, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM dan YB Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Dalam ucapan perasmian program, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba menyatakan terdapatnya keperluan untuk merancang program pembangunan bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara bersepadu di mana inisiatif seperti Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia berupaya menjadi platform yang mampu menyemai pembudayaan dan pengaplikasian sains, teknologi dan inovasi.

Beliau juga berharap supaya cendekiawan dari institusi pengajian tinggi seperti UTM dapat terus menyumbang kepakaran bagi manfaat masyarakat serta dapat menyemarakkan pendidikan STEM.

Sebagai rekod, UTM telah terlibat secara aktif dalam sambutan dan program Minggu Sains Negara bermula dari tahun pelancarannya pada 2018. Tema program pada tahun ini iaitu ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’ juga adalah selari dengan misi UTM untuk membangun bakat holistik dan mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.

Tentunya pengetahuan dan kepakaran UTM berdasarkan bidang tujahan yang holistik dalam semua bidang fokus Minggu Sains Negara dapat menyumbang kepada nilai baharu bagi mencapai objektif program.

Menurut pengarah program Karnival STEM Merdeka, Ts. Dr. Syazwani Itri Amran, kejayaan program ini adalah hasil sinergi pelbagai pihak daripada dalam dan luar UTM, khususnya melibatkan agensi kerajaan tempatan di Kota Tinggi, Johor. Malah, beliau turut menyatakan hubungan jaringan strategik antara semua rakan kerjasama program membolehkan pelbagai aktiviti diskoveri dan eksplorasi STEM dapat diadakan dengan lebih berkesan.

Seramai lebih 700 pelajar dari 80 sekolah sekitar daerah Kota Tinggi, Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai, Kluang dan Mersing telah memeriahkan aktiviti-aktiviti STEM yang disediakan sepanjang Karnival STEM Merdeka tersebut yang dihoskan oleh Fakulti Sains UTM.

Karnival STEM Merdeka ini turut diadakan bagi meraikan sambutan penubuhan UTM yang ke-50. Selaras dengan itu, UTM akan terus menggiatkan usaha pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan semua lapisan masyarakat terhadap kepentingan kemajuan STEM bagi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

 

Explore More