April 26, 2024

Search
Close this search box.

Dua Guru Pelatih Kolej Vokasional Tanjung Puteri Diiktiraf Dalam Majlis Apresiasi Latihan Mengajar

SENAI, 17 Ogos – 2 orang guru pelatih yang ditempatkan di Kolej Vokasional Tanjung Puteri, Johor Bahru dengan cemerlangnya membolot anugerah bagi Anugerah Sahsiah dan Sumbangan Guru Pelatih Terbaik serta Anugerah Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Terbaik dalam Majlis Apresiasi Latihan Mengajar 2021/2022.

Encik Muhammad Taqiuddin bin Mohd Daim menggelarkan dirinya bertuah kerana ditempatkan di Johor sepanjang sesi latihan mengajarnya. Beliau bersyukur kerana urusannya dipermudahkan untuk lebih dekat dengan isteri serta anak-anak.

“Saya sungguh bertuah dan bernasib baik apabila ditempatkan di sini kerana urusan saya dan isteri dalam menjaga anak-anak dapat diuruskan dengan lebih mudah.”

Beliau mengajar pelajar yang berlainan tahap di mana beliau mengajar pelajar diploma vokasional dan pelajar sijil vokasional dalam satu masa yang sama.

“Apa yang membezakan mereka ialah cara mereka berfikir. Pelajar diploma lebih matang pemikirannya berbanding pelajar sijil vokasional.”

“Pelajar sijil vokasional memerlukan pemerhatian yang lebih bagi menarik minat mereka untuk belajar. Pelajar diploma pula lebih senang menerima arahan.”

Turut memenangi anugerah dalam majlis yang sama ialah Encik Mohamad Nuzul Taufiq bin Mohd Norawi. Beliau yang turut ditempatkan di kolej vokasional yang sama seperti Encik Taqiuddin, tidak kisah sekiranya selepas ini beliau ditempatkan di tempat lain pula.

“Saya berasal dari Kuala Lumpur, belajar dan menjalani latihan mengajar di Johor Bahru. Untuk penempatan seterusnya, ikutlah nasib saya,” balasnya sambil ketawa.

Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini merupakan yang pertama menggenggam ijazah sarjana muda. Beliau sangat berbangga di atas kejayaannya dan berharap agar kerjayanya mampu memberi inspirasi kepada anak-anak didiknya.

“Pendidikan memang penting. Ianya bukan sahaja untuk menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga memberikan seseorang itu imej bahawa mereka merupakan orang yang berpelajaran.”

Beliau berpendapat bahawa, “pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat universiti, mereka akan lebih berfikir ke arah pembangunan kerjaya mereka. Apabila mereka masuk ke alam pekerjaan nanti, mereka akan tahu bagaimana cara untuk mereka menggilap kemahiran mereka yang sedia ada ataupun yang mereka pelajari.”

Gambar Oleh: Adrian Efendy Kassim

Explore More