November 21, 2024

Search
Close this search box.

Project Life Aquatic: Inisiatif Murni MJIIT UTM dan MPPM Semai Kesedaran sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia 2022

‘World Drowning Prevention Day 2022’ atau ‘Hari Pencegahan Lemas Sedunia 2022’ telah diwartakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk disambut pada setiap 25 Julai. Sambutan ini bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa kematian lemas diseluruh dunia serta memberi kesedaran kepada umum tentang pentingnya ilmu keselamatan air (water safety) dikalangan orang awam.

Project Life Aquatic, sebuah projek khas 5 tahun, yang diterajui oleh Malaysia – Japan International Institute of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah bergandingan bersama Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) menyambut ‘World Drowning Prevention Day’ bertempat di Pulau Besar, Melaka.

Pulau Besar merupakan salah sebuah daripada 16 pulau di Melaka, yang dahulunya dikenali sebagai sebuah pulau ‘misteri’ yang penuh dengan aktiviti-aktiviti khurafat. Sambutan ini merupakan inisiatif bersama MPPM dan UTM menjenama semula Pulau Besar kepada sebuah pulau yang selamat dari segi keselamatan air (dan darat) serta bebas daripada aktiviti khurafat, disamping mempromosi keunikan alam yang terdapat di pulau ini.

Pada 25 dan 26 Julai, sebuah latihan khas memfokuskan kepada pendedahan asas ilmu keselamatan air, renang dan menyelamat telah dijalankan oleh Project Life Aquatic, untuk kakitangan MPPM di perairan Pulau Besar, Melaka. Latihan asas ini bertujuan memberi peluang kepada MPPM untuk mendapatkan input mengenai faktor-faktor asas berkenaan keselamatan air, renang dan menyelamat yang perlu diterapkan kepada orang awam, khususnya para pelancong serta para operator perkhidmatan (air dan darat) di pulau ini.

Latihan selama 2 hari ini melibatkan pendedahan kepada ilmu renang untuk menyelamatkan diri (swim and survive) menggunakan teknik ‘uitemate’, sebuah teknik apungan (float and follow) yang telah diperkenalkan oleh Prof. Hidetoshi Saito dari Universiti Nagaoka, Jepun.

Teknik ini sangat berkesan apabila terjadinya kecemasan air dan telah terbukti keberkesanannya di beberapa kejadian darurat air di Jepun. Salah sebuah kejadian yang masih menjadi topik perbualan sehingga ke hari ini adalah episod tsunami pada 11 Mac 2011 yang telah berlaku di perbandaran Miyagi, yang telah mengakibatkan keseluruhan sekolah di daerah Higashi-Matsushima tenggelam.

Teknik uitemate telah dipraktikkan apabila beberapa pelajar terangkap di dalam dewan sekolah yang telah dinaiki air, dan mereka terselamat dari mati lemas disebabkan kejayaan para guru mereka yang telah mendidik anak murid mengenai teknik penting ini. Disamping memperkenalkan teknik uitemate, kebolehan renang asas untuk menyelamatkan diri sendiri juga telah diterapkan kepada MPPM.

Gambar: Teknik ‘uitemate’ (float & follow) yang diterapkan kepada para peserta dari orang awam (dewasa, Malaysia) oleh program-program yang telah dijalankan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, sepanjang tahun ini.

Mereka juga telah didedahkan kepada asas menyelamat menggunakan kaedah freediving (selaman bebas), selaman skuba asas, CPR dan pertolongan cemas, kaedah menyelamat menggunakan ‘standup paddle board’ atau SUP dan kebolehan asas untuk menyelamat nyawa (lifesaving).

Disebabkan rakyat Malaysia masih kurang kesedaran mengenai ilmu keselamatan air, renang dan menyelamat, sambutan serta program-program sebegini perlu diketengahkan kepada semua pihak bagi persediaan terhadap kecemasan atau darurat air yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan dimana pun kita berada.

Latihan selama dua hari ini telah ditaja penuh oleh Project Life Aquatic MJIIT UTM. Program turut mendapat tajaan penginapan tiga hari dua malam dari Putera Island Resort, Pulau Besar, serta tajaan perkhidmatan bot dan pengangkutan dari pihak MPPM.

 

Disediakan oleh:
Dr. Rahayu Tasnim
Pengarah Project Life Aquatic
Malaysia-Japan International Institute of Technology
Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur
rahayutasnim@utm.my

Explore More