April 29, 2024

Search
Close this search box.

Program Kitar Semula Secara Pandu Lalu@UTM Membudaya Amalan Lestari Bersama Komuniti Setempat

JOHOR BAHRU, 28 Aug. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa berusaha membudayakan amalan lestari di kalangan warga UTM serta komuniti setempat dengan mengadakan inisiatif seperti program Kitar Semula Secara Pandu Lalu@UTM yang berlangsung pada hari ini di Dataran UTM Johor Bahru.

Program ini adalah bertujuan untuk mengimarahkan agenda kelestarian kampus bersama komuniti sekitar dan secara tidak langsung menyumbang ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Dato’ Haji Mohd Haffiz Haji Ahmad bersama Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

“Program sinergi antara UTM, MBIP, Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), SWM Environment Sdn. Bhd. dan lain-lain rakan kerjasama ini juga merupakan manifestasi kita dalam membudayakan amalan lestari dan usaha rendah karbon demi mensejahterakan kehidupan masyarakat khususnya di Iskandar Puteri”, ujar Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Apeiron Bioenergy, Kloth Malaysia Sdn. Bhd, dan Life Line Clothing Malaysia Sdn. Bhd.

Aktiviti pengurusan sisa dan barangan terpakai semasa program ini melibatkan pengumpulan pelbagai barangan kitar semula umum (kaca, tin, plastik dan kertas) dan bahan terpakai daripada pengunjung yang melalui lima hentian khemah pandu lalu yang disediakan.

Setakat ini, program Kitar Semula Secara Pandu Lalu@UTM telah berjaya menarik seramai 370 pengunjung serta mengumpul kira-kira satu tan minyak terpakai, dua tan barang kitar semula umum dan 500kg fabrik terpakai.

Minyak terpakai yang dikumpul telah mengunakan sistem jualan RM3.00/kg. Manakala barang kitar semula umum pula menggunakan sistem mata ganjaran melalui kitarecycle.com.

Bersempena dengan program ini juga, sebuah buku bertajuk “Puteri” yang menekankan penjagaan alam sekitar di tebing Sungai Skudai Johor telah diperkenal dan diedarkan semasa program oleh penulisnya, Dr. Norhidayah Md.Yunus dari Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM kepada pengunjung termasuk murid Tadika Ihsan UTM.

“UTM bersama rakan strategik turut memberikan pendedahan awal tentang pengurusan sisa kepada kanak-kanak daripada Tadika Ihsan UTM bagi menjamin legasi masyarakat lestari yang menyumbang kepada sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)”, kata Ketua Projek Kitar Semula Secara Pandu Lalu@UTM, Encik Nurul Amrie Abdullah.

Turut hadir bersama ketika program adalah Ketua Eksekutif IRDA, YB Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim, Pengurus Besar Korporat, SWM Environment Sdn Bhd., Encik Mohd Norlisam Mohd Nordin, Pengarah Pelestarian Kampus UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md Din dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Puan Nor Haliza Saibun.

Bagi melanjutkan usaha pengumpulan fabrik terpakai, seunit tong bahan tersebut iaitu sumbangan daripada pihak Life Line Clothing Malaysia Sdn. Bhd. telah ditempatkan di Tasik Ilmu UTM sehingga 31 Disember 2022.

UTM akan terus berusaha mengadakan inisiatif-inisiatif lestari seperti ini yang mampu meningkatkan tahap kesedaran warga UTM dan komuniti setempat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

 

Disediakan oleh: Fatin Nabihah Rosli 

Explore More