April 20, 2024

Search
Close this search box.

PPMU UTM Realisasi Misi Pulihara Ekosistem Paya Bakau Tanjung Piai

Disediakan oleh : Nurleyana binti Salleh, Fahtinoor Amera Binti Othman dan Amy Zuria binti Abdul Ajid

Sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa yang disambut pada 26 Julai 2022, Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru telah menyahut saranan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dengan menganjurkan aktiviti tanggunjawab sosial korporat (CSR) berpaksikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan program penanaman semula pokok paya bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, Johor pada 14 Ogos 2022.

Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan staf PPMU dan memelihara ekosistem hutan paya bakau termasuk kawasan pesisir pantai. Seramai 41 orang staf PPMU berganding bahu bersama bagi menjayakan aktiviti CSR ini.

Uniknya nama Tanjung Piai dinamakan sempena pokok tempatan dikenali sebagai pokok paku piai

Kepentingan ekosistem paya bakau

Hutan paya bakau merupakan hutan unik yang bertaburan di kawasan persekitaran ekstrim dan air masin. Hutan ini menjadi habitat semulajadi pelbagai spesis flora dan fauna. Hal ini menjadikan hutan paya bakau sebagai sebuah kawasan yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi.

Selain itu, hutan paya bakau berperanan sebagai pelindung semulajadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar serta ribut. Hutan paya bakau juga mampu menyerap gelombang besar ombak serta angin kencang seterusnya membolehkan kawasan pesisir pantai yang dilitupi hutan paya bakau selamat daripada impak bencana.

Pokok paya bakau jenis akar jangkang dikenali sebagai Rhizophora

Pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem paya bakau

Sebanyak 201 anak pokok bakau jenis Rhizophora Apiculata dan Rhizophora Mucronata telah berjaya ditanam oleh staf PPMU melalui aktiviti pemulihan hutan paya bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai. Aktiviti penanaman semula anak pokok bakau ini adalah aktiviti berterusan dari semasa ke semasa demi kelestarian pokok paya bakau.

Penanaman pokok paya bakau bukan sahaja boleh mencegah hakisan pantai malah dapat memulihara habitat asal supaya anak ikan, berongan, siput sedut, lokan, dan ketam dapat membiak. Lantas dengan penanaman anak pokok bakau ini, boleh menjadikan kawasan terbabit sebagai kawasan penampan ombak untuk mencegah hakisan pantai.

Setiap staf PPMU dibekalkan 3 batang anak pokok bakau spesis bakau minyak dan juga bakau kurap untuk ditanam

Khazanah paya bakau warisan negara

Secara realitinya, pesisir pantai Taman Negara Johor Tanjung Piai kini berdepan ancaman hakisan hingga mencapai jarak lapan meter setiap tahun. Hakisan berlaku sepanjang 10 kilometer bermula dari pantai yang menempatkan mercu tanda glob Tanjung Piai hingga ke kawasan Kukup, dengan keadaan lebih serius di kawasan timur (Kukup) berbanding barat (Selat Melaka). Longgokan sampah yang dihanyutkan ombak ke pesisir pantai Tanjung Piai adalah faktor utama terjadinya hakisan pantai.

Menyedari hakikat tersebut, program kesedaran pembersihan dan pengindahan kawasan paya bakau turut dilaksanakan dalam aktiviti CSR ini. Sebanyak 88 kg sisa dalam bentuk botol plastik, tin minuman, selipar, cebisan plastik dan tali berjaya dikumpulkan dalam tempoh satu jam.

Melalui penganjuran aktiviti CSR ini, staf PPMU diharap dapat meningkatkan rasa tanggungjawab dalam usaha pemeliharaan alam sekitar, mengurangkan pencemaran dan penghasilan sisa buangan khususnya di lokasi tumpuan pelancong.

Semua pihak sepatutnya memainkan peranan masing-masing bagi memastikan ekosistem paya bakau Taman Negara Johor Tanjung Piai kekal terpelihara agar ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Aktiviti kutipan sampah di persisir pantai Tanjung Piai giat dijalankan
oleh staf PPMU
Staf PPMU mengambil peluang bergambar di Glob mercu tanda Tanjung Piai sebagai penghujung Selatan Tanah Besar Asia

 

Explore More