Mei 13, 2024

Search
Close this search box.
STEMARVEL 2022

Aktiviti Interaktif MyLine Perkasa Bahasa Inggeris Pelajar SMK Kangkar Pulai dalam STEMarvel 2022

Pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematic) dilaksanakan di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan dari pelbagai pihak, merupakan salah satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025).

SMK Kangkar Pulai telah menganjurkan Program STEM pada 26 Julai 2022 dengan kerjasama  Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM. Untuk program STEM kali ini, pihak penganjur telah memberi nafas baru ke atas nama STEM dengan mengubah kepada STEMarvel dan slogan program tersebut adalah Engaging STEM in Marvellous Way. Program ini dirancang bagi memberi ruang kepada para pelajar untuk mengenal dan memupuk minat mereka bagi memilih aliran yang bersesuaian apabila memasuki Tingkatan Empat kelak.

Seramai 248 orang pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga yang telah menyertai program ini. Pelbagai pendedahan dan aktiviti interaktif berkonsepkan Sains, Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan serta ilmu Matematik yang telah disediakan khas buat mereka. 

MyLinE bersama pihak Pengurusan SMK Kangkar Pulai dan para pelajar sepanjang Program STEMarvel 2022

Program STEMarvel 2022 ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norazrena Abu Samah bersama barisan pensyarah, staf dan mahasiswa UTM telah turut serta menjayakan program ini. Dalam program STEMarvel ini, MyLinE yang diketuai oleh Dr. Hema Rosheny Mustafa, mengambil inisiatif untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar yang menyertai program. MyLinE menyediakan empat kuiz berbahasa Inggeris secara dalam talian melalui platform portal MyLinE. Empat kuiz tersebut ialah Grammar Game, Did You Know, Scramble Jumble, dan What’s That Word. Keempat-empat kuiz ini yang disediakan oleh Jawatankuasa MyLinE, meliputi kesemua bidang yang diketengahkan dalam STEMarvel tahun ini.

Melalui kuiz yang disediakan ini, para pelajar ini didedahkan dengan pembelajaran STEM menggunakan bahasa Inggeris melalui kepelbagaian jenis soalan yang ringkas dan menarik Soalan-soalan ini dibangunkan bersesuaian dengan tahap pembelajaran pelajar di sekolah serta membantu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris mereka.

MyLinE menjalankan aktiviti bersama pelajar sepanjang Program STEMarvel 2022

Program STEMarvel ini telah berjaya mencapai matlamatnya melalui kepelbagaian aktiviti menarik pada setiap stesen yang telah disertai oleh pelajar dan berharap jalinan kerjasama dan jaringan antara pihak sekolah dan UTM akan diteruskan lagi pada masa akan datang. 

Di sediakan oleh: Dr. Hema Rosheny Mustafa, Nurul Na’immah Hamdan, Rika Diana Busri, Nur Shamsinar Ramli, Nur Nadirah Baharam, Abd Rahim Ahmad, Nurhidayah Reman & Nur Syuhadah Rusni.

Explore More