November 22, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Ir. Dr. Mohd Azman Abas, Prof. Madya Dr. Norashikin Mahmud, Dr. Kew Si NaIr. Ts. Shaiful Fadzil Zainal Abidin & Mohd Rozi Mohd Perang

Penyunting: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

Kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan bahan api menjadi antara punca utama pencemaran alam sekitar, yang mana ia menyebabkan peningkatan signifikan kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera pada kadar 40 peratus.. Namun, secara realistiknya adalah amat sukar bagi masyarakat global untuk tidak bergantung kepada penggunaan bahan api, terutama dalam bentuk penggunaan kenderaan yang memudahkan kita bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi.

Ujian pemanduan eko sedang dijalankan.

Bagi memastikan sekurang-kurangnya masyarakat global terutama rakyat Malaysia menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api, pasukan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Pusat Pembangunan Automotif (ADC), Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (SKM) telah menjadi pencetus idea dalam membangunkan modul pemanduan eko (eco-driving module). Modul ini merupakan kombinasi penyelidikan dalam aspek teknikal pemanduan (halaju  dan pecutan) serta tingkah laku pemandu (fizikal, mental dan emosi), yang akhirnya akan membantu mengurangkan penggunaan bahan api.

Ujian turut dijalankan kepada pemandu lori 3 tan.

Projek ini telah membuka mata pelbagai pihak merentasi kementerian, agensi dan industri seperti Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Kementerian Pengangkutan (MOT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan POS Malaysia. Peruntukan dalam bentuk konsortium penyelidikan bernilai RM284,000 juga diberikan kepada ADC UTM demi memastikan pembangunan modul ini dapat direalisasi.

Pengendali bas UTM turut terlibat dalam ujian pemanduan eko.

“Modul pemanduan eko ini akan menjadi asas dalam mendidik semula pemandu di Malaysia supaya lebih cakna akan cara pemanduan yang lebih mesra alam,” jelas Ir. Dr. Mohd Azman Abas selaku ketua penyelidik projek.

“In Sha Allah, modul pemanduan ini akan menjadi sebahagian daripada kurikulum pembelajaran sekolah memandu, pengendali pengangkutan (fleet operators) dan diolah dalam bentuk video pendek interaktif di media sosial untuk tatapan umum, selewat-lewatnya hujung tahun ini,” tambah beliau lagi.

Hasil dapatan kajian pemanduan eko telah dibentangkan di MGTC.

Setakat ini, tujuh jenis kenderaan terlibat dalam ujian pemanduan eko ini, iaitu kereta Perodua Myvi, kereta Proton Saga, motosikal 150 cc, motosikal 250 cc, kenderaan serba guna (MPV) Toyota Vellfire, kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V, lori 3 tan dan bas UTM. Ujian pemanduan yang dijalankan turut mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada En. Farique Hairuman, yang berpengalaman sebagai pemandu profesional PETRONAS Syntium Proton (PSP) di British Touring Car Championship 2004.

Kajian pemanduan eko turut menarik pelbagai pihak merentas universiti, agensi dan industri.

Setiap kenderaan yang terlibat telah diuji dalam aspek teknikal pemanduan secara normal dan pemanduan secara eko. Ujian turut dijalankan di permukaan jalan raya yang berbeza iaitu jalan bandar, jalan kampung dan lebuhraya. Hasil ujian juga mendapati terdapat pengurangan penggunaan bahan api yang signifikan, sebanyak antara 15 sehingga 20 peratus, sekiranya pemanduan eko diaplikasikan.

ADC UTM menjadi tunjang dalam merealisasi modul pemanduan eko.

Selain Ir. Dr. Mohd Azman Abas selaku ketua penyelidik projek, projek ini turut mendapat sentuhan pakar merentas disiplin, iaitu Prof. Madya Dr. Norashikin Mahmud (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM) selaku pakar psikologi dan tingkah laku untuk keselamatan jalan raya, Dr. Kew Si Na (Akademi Bahasa UTM) selaku pakar dalam suntingan dan susunan bahasa untuk modul yang akan dibangunkan dan Ir. Ts. Shaiful Fadzil Zainal Abidin selaku pakar simulasi dan permodelan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Explore More