April 26, 2024

Search
Close this search box.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia), TPr. Dr. Alias bin Rameli telah dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU). Pada majlis tersebut, pihak UTM yang diwakili oleh Dekan FABU, Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali telah menyerahkan sijil lantikan Profesor Adjung kepada TPr. Dr. Alias Rameli dengan disaksikan oleh barisan jemputan yang terdiri daripada Ketua Pengarah PLANMalaysia negeri Johor, Pengarah Centre for Innovative Planning and Development (CIPD) UTM, Pengarah Program Perancangan Bandar & Wilayah, FABU dan 160 hadirin di Dewan Konvensyen, FABU.

Lantikan tersebut telah berkuatkuasa pada 21 April 2022 bagi tempoh satu tahun. Beliau yang juga merupakan Alumni UTM telah berjaya menamatkan pengajian dari seawal peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan sehingga doktor falsafah di UTM. Menelusuri sejarah dan latar pendidikan beliau, TPr. Dr. Alias bin Rameli telah menerima pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, Terengganu. Minat beliau dalam bidang perancangan bandar bermula setelah diterima untuk menyambung pengajian di peringkat diploma di UTM pada tahun 1990 dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah.

Setelah selesai, beliau meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah pada tahun 1992. Sepanjang perjalanan karier beliau sebagai Pegawai Perancangan Bandar di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Semenanjung Malaysia (kemudian dikenali sebagai PLANMalaysia), minat beliau untuk mendalami ilmu bidang perancangan bandar sentiasa berkembang. Menjelang tahun 2002, sekali lagi beliau kembali ke UTM untuk menerima Ijazah Sarjana Sains dan pada tahun 2009, beliau telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat tertinggi, Ijazah Doktor Falsafah (Perancangan Perumahan dan Harta Tanah) juga daripada UTM.

Komitmen beliau untuk mencapai kejayaan dengan menamatkan pengajian di setiap peringkat jelas mempamerkan DNA UTM yang unggul. Semangat dan kegigihannya untuk mendalami ilmu berkaitan bidang perancangan bandar tanpa lelah wajar diiktiraf. Tokoh Alumni UTM yang menjadi kebanggaan seluruh warga universiti ini perlu dijadikan ikon, tauladan kepada mahasiswa dan bakal graduan di UTM. Sepanjang kerjaya, beliau sentiasa kembali ke kampus berkongsi pengalaman dan motivasi bersama mahasiswa program ini. TPr. Dr. Alias bin Rameli juga pernah dilantik menjadi sebahagian panel penilai Majlis Akreditasi Perancangan Bandar oleh Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM) menilai kualiti program pengajian yang ditawarkan UTM.

Menjejaki perkembangan kerjaya, TPr. Dr. Alias bin Rameli memiliki pengalaman yang begitu luas baik dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, mahupun penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang Perancangan Bandar dan Wilayah. Beliau telah dihantar berkhidmat di pelbagai lokasi, bahagian dan unit dalam PLANMalaysia. Antaranya, sebagai Pegawai Perancang Bandar di Negeri Terengganu dan Pejabat Cawangan Selatan, Penolong Pengarah di PLANMalaysia Johor, Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di ibu pejabat, Penolong Pengarah Kanan (Pejabat Zon Selatan), Timbalan Setiausaha di Seksyen Pengurusan Teknikal Kementerian Wilayah Persekutuan, Pengarah R&D dan seterusnya Ketua Pengarah PLANMalaysia bermula 1 Mac 2022.

Melalui pelantikan Profesor Adjung, tokoh Alumni UTM akan terus menyumbang kembali kepada universiti dengan memperkasakan program pengajian, fakulti dan universiti umumnya melibatkan beberapa aspek utama. Siri lawatan Profesor Adjung akan disusun sepanjang tempoh pelantikan bagi berkongsi perkongsian idea, pengalaman, amalan dan pendekatan baharu yang inovatif untuk membimbing bakal graduan program memperkasakan profesion Perancangan Bandar. Kehadiran Profesor Adjung dapat membantu pihak Program Perancangan Bandar dan Wilayah (PBW), FABU memperkasakan barisan tenaga pengajar, kepimpinan dan pengurusan, modal insan, selain menyokong penganjuran program akademik dan bukan akademik yang berimpak tinggi kepada staf dan juga mahasiswa.

Sempena majlis tersebut, Profesor Adjung TPr. Dr. Alias bin Rameli  turut menyampaikan ucaptama berjudul disusuli dengan program “Expert Talk” yang menampilkan dua orang panel jemputan daripada PLANMalaysia bagi berkongsi pengalaman praktis dan perkembangan semasa dibidang perancangan bandar. Manakala, di sebelah petang pula, program “e-Urban Dialogue@UTM Siri-5” anjuran Persatuan Mahasiswa Perancangan Bandar dan Wilayah UTM (PEWIBAWA) telah diadakan dan turut menampilkan Profesor Adjung. Sesi dialog terbuka ini memberi peluang kepada penuntut Program PBW berinteraksi secara langsung bersama Profesor Adjung secara santai, untuk bertukar-tukar pendapat mengenai profesyen perancang bandar.

Disediakan oleh : Dr. Khairul Hisyam bin Kamarudin, Pensyarah Kanan FABU

Explore More