Mac 1, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa UTM Bahas Cadangan Usul dan Polisi Kerajaan Negeri Johor

Lima penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga merupakan ahli Dewan Muda Johor (DMJ) telah menghadiri Persidangan Dewan Muda Johor 2022 bertempat di Kota Iskandar, Iskandar Puteri yang berlangsung pada 16 dan 17 Julai lalu. Penganjuran Persidangan Dewan Muda Johor 2022 ini merupakan salah satu usaha kerajaan Negeri Johor dalam melibatkan golongan Orang Muda Johor secara aktif bagi membincangkan dan membahaskan usul berkaitan dasar dan polisi Kerajaan Negeri Johor sebagai salah satu usaha bagi mencapai visi Johor Maju menjelang 2030.


Persidangan selama dua hari tersebut telah melibatkan 60 orang ahli Dewan Muda Johor bagi membahaskan cadangan enam Usul Negeri dan satu Usul Persekutuan daripada tujuh Jawatankuasa berbeza. Seterusnya, usul-usul yang diterima dalam persidangan tersebut telah disampaikan secara terus kepada Kerajaan Negeri Johor. Antara wakil mahasiswa dari UTM yang terlibat dalam sesi perbahasan tersebut ialah saudara Soh Ren Chai (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam), saudara Danial Iskandar Jafridin (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Dengan Pendidikan (Kemahiran Hidup), saudari Indah Syafika Azwa Mohd Azam (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ijazah Teknologi Dengan Pendidikan (Binaan Bangunan), saudari Roshini (Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Bioinformatik) dan saudari Syaza Soraya Sauli (Pelajar PhD Psikologi Pendidikan, FSSH).

Pembukaan Persidangan Dewan Muda Johor Sesi 2022 tersebut telah dimulakan dengan ucapan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Penaung Dewan Muda Johor. Dalam ucapan pembukaan tersebut, YAB Menteri Besar Johor telah memberi penekanan serius terhadap enam teras utama Negeri Johor meliputi Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar dan Orang Muda Johor. Sesi penggulungan persidangan pula telah mendengarkan ucapan penggulungan daripada YB Tuan Mohd Hairi Bin Mad Shah; Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor.

Perihal Dewan Muda Johor

Dewan Muda Johor (DMJ) merupakan platfom terbuka dan bebas yang mengumpulkan Anak Muda Johor daripada pelbagai latar belakang bagi berbincang dan membahaskan usul berkaitan dasar dan polisi Kerajaan Negeri Johor. DMJ adalah medium demokratik yang bersifat tersusun dalam menyalurkan kritikan, saranan serta ikhtiar semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dan Malaysia.

Komposisi ahli DMJ terdiri daripada anak muda Johor yang dilihat mempunyai keterampilan dan kematangan pemikiran yang selayaknya dalam membangunkan wibawa Orang Muda Johor. Barisan Ahli Dewan Muda Johor ini mempunyai minat dan pengetahuan mendalam dalam perihal dasar, polisi serta inisiatif Kerajaan Negeri dan menjalinkan bekerjasama secara terus dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, EXCO Kerajaan Negeri Johor dan agensi kerajaan negeri.

“Dewan Muda Johor, Gelanggang Bakat-Bakat Terbaik Bangsa Johor”

4 daripada 5 wakil Mahasiswa UTM sebagai Ahli Dewan Muda Johor 2022.
Dari kiri: (Soh Ren Chai, Syaza Soraya, Indah Syafika, Danial Iskandar)

Explore More