April 20, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi Makmal Satelit FABU UTM-JTS Sarawak dan ACLS Pacu Teknologi Pemetaan Berkejituan Tinggi

Disediakan oleh: Prof. Madya Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, Amir Husni Kamaludin

Penulis bersama: Dr. Aimi Musa & Dr. Nurul Izzati Abd Karim

Persatuan Perunding Jurukur Berlesen Sarawak (ACLS) telah mengadakan satu lawatan teknikal ke Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak pada 6hb Julai 2022 bertempat di Ibu Pejabat JTS Sarawak, Menara Pelita, Kuching. Lawatan ini dilaksanakan oleh ACLS dalam usaha untuk mengetahui perkembangan teknologi terkini pengukuran dan pemetaan di JTS Sarawak selaku salah satu agensi pembangunan di negeri Sarawak.

Delegasi ACLS yang diketuai sendiri oleh Presiden ACLS, Datu Sr. Sudarsono Osman telah mengikuti lawatan ini. Manakala, pihak JTS Sarawak selaku tuan rumah diketuai oleh Timbalan Pengarah (Operasi), Sr. Rozlan Haji Putit bersama sama Penolong Pengarah (Survei), Sr. Ramzi Abdillah. Turut hadir bersama ialah wakil daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Pengarah Geoinformasi, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Musa dan hadir sama Prof. Madya Dr. Abdullah Hisam Omar.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang lawatan dilaksanakan ialah sesi perbincangan dua hala antara ACLS dan JTS Sarawak, sesi pembentangan berkenaan kemajuan teknologi pengukuran dan pemetaan oleh wakil daripada berapa seksyen JTS Sarawak. Wakil daripada FABU UTM, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Musa turut terlibat dalam sesi pembentangan selaku wakil daripada Makmal Satelit FABU UTM – JTS.

Pihak ACLS juga melaksanakan lawatan ke beberapa stesen kerja di seksyen JTS Sarawak iaitu Seksyen Kartografi, Unit 3D, Seksyen Fotogrametri dan Pusat Data CORS untuk melihat secara dekat teknologi terkini yang sedia ada di JTS Sarawak. Pihak ACLS turut berpeluang menyaksikan demonstrasi lapangan penentududukan berasaskan infrastruktur jaringan CORS SGeDNet oleh wakil daripada Makmal Satelit FABU UTM – JTS Sarawak. Demonstrasi ini dilaksanakan dalam menguji keupayaan infrastruktur ini untuk kerja – kerja pengukuran dan pemetaan berkejituan tinggi di negeri Sarawak.

Lawatan ini telah memberi suatu pendedahan baharu kepada delegasi ACLS khususnya teknologi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JTS Sarawak untuk menyokong pembangunan dan kemajuan di negeri Sarawak. Sehubungan dengan itu, lawatan ini juga telah membuka satu sinergi baharu dengan penglibatan universiti, agensi dan industri untuk makmal satelit FABU-JTS bagi kemajuan bidang Kejuruteraan Geomatik di Sarawak.

Explore More