Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Prof. Madya Dr. Mimi Haryani Hassim, Muhammad Abdul Razak, Nur Fatimah Azmi
Centre of Hydrogen Energy, Universiti Teknologi Malaysia

Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Negara 2021-2025 (OSHMP25) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 3 Oktober 2021 dibangunkan dengan tema KKP Inklusif-Kebersamaan dan Komitmen. Sebanyak 7 teras strategik dan 29 program telah digariskan dalam blueprint OSHMP25.

Bagi mencapai hasrat serta Petunjuk Prestasi Utama OSHMP25 Teras Strategik 3, Program 3 iaitu ‘Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan KKP,’ terdapat tiga mekanisme telah didokumentasikan di dalam blueprint OSHMP25. Dua daripada mekanisma tersebut ialah mengenalpasti bidang kepakaran KKP dari semua pusat penyelidikan dan universiti, menyelaras bidang kepakaran KKP setiap organisasi serta antara yang paling signifikan ialah, mengiktiraf universiti dan pusat penyelidikan sebagai pusat kecemerlangan KKP (OSH Centre of Excellence) berdasarkan bidang pengkhususan KKP.

Bagi tujuan pemilihan OSH CoE, beberapa universiti termasuk agensi yang berkaitan telah disenarai pendekkan. UTM berasa amat bertuah kerana termasuk dalam salah sebuah calon organisasi yang tersenarai. Berikutan itu, satu lawatan penanda aras oleh pasukan OSHMP25 Teras Strategik 3 (TS3) ke UTM telah di adakan pada 24 Ogos 2022.

Delegasi tersebut diketuai oleh Ir. Ts. Hazlina binti Yon selaku Pengerusi TS3 dari JKKP Putrajaya, dan turut bersama adalah Dr. Wan Aishah Wan Omar selaku Pengerusi Bersama TS3 dari KPT. Selain itu, wakil-wakil JKKP pusat dan negeri serta wakil dari NIOSH juga turut hadir menyertai lawatan tersebut.


Ucapan Aluan oleh Yg. Berbahagia Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Kedatangan delegasi OSHMP25 disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias yang menyatakan sokongan penuh pihak pentadbiran universiti ke atas hasrat menjadikan UTM sebagai OSH CoE negara sekiranya terpilih. Sesi kemudiannya diikuti oleh pembentangan tentang bidang penyelidikan, ahli kepakaran serta fasiliti berkaitan OSH di UTM oleh Prof. Madya Dr. Mimi Haryani Hassim.


Pembentangan berkaitan OSH di UTM oleh PM Dr. Mimi Haryani Hassim

Kemudian delegasi di bawa melawat beberapa makmal di sekitar kampus UTM. Ini termasuklah Makmal Penyelidikan Virus (Virology Lab) di mana delegasi diterangkan tentang pengurusan kerja selamat biologi (biokeselematan) di UTM. Turut diberikan demonstrasi aktiviti pensijilan selamat kawalan kejuruteraan biologi melibatkan Biosafety Cabinet (BSC).

Pengurusan biokeselamatan dan pensijilan kendiri BSC dilaksanakan di bawah JK Keinstitusian Biokeselamatan UTM (IBC-UTM) oleh pegawai UTM yang terlatih sebagai Biorisk Professional dan NSF-Certified Biosafety Cabinet Field Certifier. Satu pencapaian yang membanggakan apabila salah seorang Biosafety Cabinet Field Certifier UTM merupakan antara kumpulan kecil pensijil BSC yang diiktiraf di peringkat nasional.

Demonstrasi Biosafety Cabinet (BSC) di Makmal Penyelidikan Virus

Lawatan seterusnya adalah ke Building Information Modeling Centre for Digital Innovations and Solutions (BIMCDIS) yang terletak di Fakulti Alam Bina dan Ukur. Para delegasi ditunjukkan dengan demonstrasi pengaplikasian Virtual Reality serta Gamification dalam memantapkan OSH bagi sektor pembinaan. Aplikasi tersebut bukan sahaja dibangunkan untuk tujuan penyelidikan dan perundingan, malahan bagi tujuan pengajaran.


Demonstrasi pengaplikasian Virtual Reality di BIMCDIS

Agenda kunjungan penanda aras yang terakhir adalah lawatan ke A2Lab, Centre for Artificial Intelligence and Robotics (CAIRO) yang terletak di Fakulti Kejuruteraan. Prof. Ir. Dr. Ahmad ‘Athif selaku Pengarah CAIRO menunjukkan demonstrasi robot-robot yang telah mereka bangunkan bagi tujuan pengaplikasian di pelbagai bidang berkaitan OSH.

Ini termasuklah ‘Rehab Robots’ bagi membantu pesakit strok termasuklah pekerja yang cedera akibat rutin atau kemalangan di tempat kerja;  serta ‘Underwater Robot’ yang amat membantu bagi kerja-kerja di dalam ‘confined space’, yang mana semua maklum confined space merupakan salah satu punca utama risiko bahaya di tempat kerja yang berpotensi mengakibatkan kecederaan, termasuklah kematian, kepada pekerja yang terlibat.


Demonstrasi aplikasi robotik yang dibangunkan oleh A2Lab CAIRO

Program lawatan selama separuh hari ini secara umumnya, bejaya mencapai objektif dengan jayanya. Pihak delegasi memberikan maklum balas yang baik serta positif terhadap kepakaran dan fasiliti yang ditawarkan oleh UTM khususnya dari aspek OSH. Diharap lawatan ini bakal merealisasikan kerjasama yang lebih erat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan OSH antara pihak berautoriti (i.e. DOSH dsb.) dengan pihak UTM.


Delegasi JKKP dan NIOSH bersama pakar OSH UTM bergambar di akhir sesi lawatan

Explore More