April 19, 2024

Search
Close this search box.

FABU UTM Kongsi Kepakaran Pengesanan Perubahan Kerak Bumi dan Gerakan Seismik

Disediakan oleh: Amir Husni Kamaludin, Lee Hong Sheng, Mohd Azizi Alim Shah, Noraziera Azahar, Wan Anom Wan Aris

Kumpulan Penyelidikan Inovasi Geomatik (GnG) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan satu lawatan dan sesi mesyuarat pada 17 Mac 2022 bertempat di Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Cawangan Negeri Pahang. Lawatan ini dilaksanakan oleh UTM-GnG untuk menjalinkan sinergi antara UTM dan JMG melalui sesi perkongsian ilmu dan perbincangan bersama. Hasil perbincangan dua hala melalui mesyuarat ini memberikan maklumat baharu yang akan menyumbang kepada penyelidikan khususnya dalam pemantauan aktiviti seismik di Malaysia.

Delegasi kumpulan UTM-GnG yang diwakili oleh Dr. Wan Anom Wan Aris bersama tujuh (7) orang pelajar pascasiswazah UTM-GnG iaitu Muhammad Hanifah Mazlan, Nur Jehan Jaffar, Amir Husni Kamaludin, Mohd Azizi Alim Shah, Lee Hong Sheng, Noraziera Azahar dan Mohammad Ikmal Mohd Dzukhi telah mengikuti sesi lawatan dan mesyuarat ini. Pihak JMG dihadiri oleh Pengarah JMG Pahang Tuan Haji Nurul Huda bin Haji Romli dan Ketua unit Pengurusan Maklumat (KUPM) Mohammad Aznawi bin Haji Mat Awan.

Sesi lawatan dan mesyuarat ini dimulakan dengan sesi pengenalan dan perkongsian aktiviti penyelidikan kumpulan UTM-GnG. Pihak UTM-GnG juga memberikan perkongsian hasil penyelidikan mengenai penentuan pusat gempa bumi dengan menggunakan isyarat GPS serta pemantauan perubahan kerak bumi di negara Malaysia. Pihak JMG juga berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi penggunaan teknologi GPS/GNSS bagi tujuan pengesanan gerakan seismik.

Kumpulan UTM-GnG juga telah melawat ke muzium pameran mineral di JMG Pahang. Sewaktu lawatan ke pameran ini, pihak JMG memberikan perkongsian berkaitan jenis-jenis granite dan batuan di Malaysia, proses perlombongan dan peranan JMG sebagai agensi kerajaan dalam bidang mineral dan geosains.

Sesi lawatan dan mesyuarat ini telah memberi suatu pendedahan baharu kepada kumpulan UTM-GnG khususnya kepentingan JMG serta ilmu berkenaan jenis granite dan mineral di Malaysia. Sehubungan dengan itu, lawatan ini juga telah membuka satu sinergi baharu dengan penglibatan universiti dan agensi kerajaan untuk kemajuan penyelidikan dalam bidang seismik.

Explore More