April 24, 2024

Search
Close this search box.

FABU UTM Jalin Kerjasama Penyelidikan Bersama Jabatan Meteorologi Malaysia

Disediakan oleh: Amir Husni bin Kamaludin, Mohd Azizi Alim Shah, Noraziera Azahar, Lee Hong Sheng, Mohammad Ikmal Mohd Dzukhi dan Wan Anom Wan Aris

Kumpulan Penyelidikan Inovasi Geomatik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM-GnG) telah mengadakan satu kunjungan hormat di Ibu Pejabat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Petaling Jaya, Selangor pada 18 Mac 2022. Kunjungan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan  serta saling bertukar pengetahuan dan kepakaran berkaitan aktiviti penyelidikan seismik dan cerapan GPS/GNSS.

Delegasi kumpulan UTM-GnG yang diwakili oleh Dr. Wan Anom Wan Aris bersama lima (5) orang pelajar pascasiswazah UTM-GnG iaitu Amir Husni Kamaludin, Mohd Azizi Alim Shah, Lee Hong Sheng, Noraziera Azahar dan Mohammad Ikmal Mohd Dzukhi telah mengikuti sesi kunjungan ini. Manakala, pihak MetMalaysia selaku tuan rumah diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) merangkap Ketua Pegawai Maklumat, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip; Pengarah Bahagian Teknikal Cuaca dan Geofizik, Pn. Azahani Abd Aziz; Pengarah Pusat Iklim Nasional, Pn. Khazainani Salleh dan dua (2) orang Pegawai Meteorologi iaitu Pn. Siti Hawa Shuhaimi dan En. Afiq Zhofri Abdul Razak.

Mesyuarat dimulakan dengan sesi pengenalan dan perkongsian aktiviti penyelidikan kumpulan UTM-GnG.  Hasil penyelidikan mengenai pengesanan isyarat seismik dan gerakan tektonik Bumi menggunakan teknologi GPS/GNSS telah dibincangkan. Melalui perbincangan ini, kedua – dua pihak bersepakat untuk menyemak hasil penyelidikan dengan menggunakan data dari stesen – stesen seismik MetMalaysia. Pihak MetMalaysia telah bersetuju untuk memberikan data – data dari stesen – stesen seismik bagi tujuan semakan ini. Pihak MetMalaysia juga berpeluang untuk menyaksikan demonstrasi cerapan GPS/GNSS dari pihak UTM-GnG. Demonstrasi ini memberi perkongsian berkenaan penggunaan teknologi GPS/GNSS untuk kerja – kerja penyelidikan.

Kumpulan UTM-GnG juga telah dijemput melawat ke salah satu stesen kerja di Ibu Pejabat MetMalaysia iaitu Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional bagi melihat teknologi – teknologi terkini yang dimiliki oleh MetMalaysia. Sewaktu lawatan ke stesen kerja ini, kumpulan UTM-GnG berpeluang mendengar perkongsian berkaitan operasi pemantauan cuaca dan gempa bumi secara masa hakiki oleh pegawai dan staf MetMalaysia yang bertugas.

Sesi lawatan dan mesyuarat ini telah memberi suatu pendedahan baharu kepada kumpulan UTM-GnG khususnya dalam pemantauan seismik. Sehubungan dengan itu, lawatan ini juga telah membuka satu sinergi baharu dengan penglibatan universiti dan agensi kerajaan untuk kemajuan penyelidikan dalam bidang seismik.

Explore More