Disember 26, 2024

Inkubator ICCubeX Perkasa Agenda Pengkomersialan Penyelidikan UTM

JOHOR BAHRU, 8 Ogos  –  Aktiviti pengkomersialan produk dan perkhidmatan hasil daripada penyelidikan di UTM merupakan salah satu agenda yang diberikan fokus yang utama. Justeru, satu program berstruktur yang dikenali sebagai ICCubeX telah diwujudkan bagi memperkukuh ekosistem pengkomersialan penyelidikan di UTM.

Salah satu elemen ICCubeX adalah penyediaan fasiliti ruang kepada para penyelidik UTM yang dijenamakan sebagai Inkubator ICCubeX. Fasiliti Inkubator ICCubeX UTM ini telah dirasmikan oleh Puan Dzuleira Abu Bakar, Ahli Lembaga Pengarah UTM merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) hari ini.

Di dalam ucapan perasmiannya, Puan Dzuleira Abu Bakar berkata Inkubator ICCubeX ini merupakan inisiatif yang hadir tepat pada masanya, tatkala pihak penyelidik kebanyakannya masih belum mengenal pasti kaedah terbaik yang perlu diikuti agar perjalanan menjadi penyelidik dan teknousahawan melalui pengkomersialan harta intelek dapat direalisasikan.

Tambah beliau lagi, sehingga 2021, terdapat sebanyak 2,891 harta intelek aktif dalam bentuk hak cipta, paten, dan reka bentuk industri telah dihasilkan. Walau bagaimanapun, hanya lebih kurang lima peratus daripada jumlah tersebut berjaya dikomersialkan. Disebabkan itu, program ICCubeX dan Inkubator ICCubeX ini perlu dilaksana dan diperkasa sekali gus membantu UTM menambah bilangan harta intelek yang dapat dikomersialkan, seterusnya meningkatkan penjanaan pendapatan kepada universiti.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati  Ahmad @ Salleh serta barisan pengurusan UTM.

Inkubator ICCubeX UTM dilengkapi dengan beberapa komponen penting bagi menggerakkan dan menyiapkan seseorang penyelidik ke arah dunia keusahawanan yang sebenar melalui latihan dan dana pengkomersialan. Ruang inkubator satelit ICCubeX juga turut disediakan di kampus UTM Kuala Lumpur termasuk di Blok J2, Sekolah Perniagaan Antabangsa Azman Hashim (AHIBS), Fakulti Teknologi Informatik Razak (FTIR) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

UTM mengharapkan agar fasiliti yang diwujudkan dapat dimanfaatkan oleh barisan penyelidik agar dapat menambah bilangan dan meningkatkan kualiti produk penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan.

Y.Brs. Puan Dzuleira Abu Bakar menyampaikan ucapan perasmian Inkubator ICCubeX.
Y.Brs. Puan Dzuleira Abu Bakar menandatangani plak perasmian Inkubator ICCubeX.
Y.Brs. Puan Dzuleira Abu Bakar melawat reruai pameran produk-produk hasil penyelidikan UTM.

Explore More