Disember 26, 2024

UTM Kongsi Kepakaran Teknologi Peranti Pemantauan Kesihatan Untuk Manfaat Masyarakat Pulau Tioman

Kesedaran masyarakat mengenai betapa pentingnya saringan kesihatan masih lagi perlu diberi perhatian. Menyedari hakikat tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Klinik Desa Kampung Juara, Klinik Kesihatan Kampung Tekek dan komuniti Kampung Juara yang diketuai Tok Empat dengan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kelestarian Transformasi Pembangunan Kesihatan dan Ekonomi Komuniti pada 5 Ogos 2022 bertempat di Kampung Juara, Pulau Tioman.

Delegasi sukarelawan UTM diwakili oleh Biosignal Processing Research Group, Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan UTM dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9 & 10 (JKM K9 & 10). Program CSR ini diketuai Prof. Madya Ir. Dr. Malarvili Bala Krishnan selaku Pengarah Program, dibantu oleh Prof. Madya Ts. Dr. Abd Rahman Tamuri, Pengetua Kolej 9 & 10 yang juga merupakan Penasihat Program Sea of Life anjuran JKM K9 & 10 dan 20 orang pelajar UTM.

Fokus utama program CSR ini mencakupi program pendidikan kepada masyarakat mengenai virus COVID-19 serta penyakit-penyakit kritikal seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, hipertensi dan diabetes, dan epilepsi (sawan). Di samping itu, tumpuan juga diberikan kepada pemindahan pengetahuan penggunaan dan penyelenggaraan alat saringan kesihatan. Matlamat ini telah dicapai menerusi program Kem Saringan Kesihatan (i-Breath) yang telah memberikan manfaat kepada 200 orang penduduk sekitar.

Kehadiran YB. Dato’ Seri Haji Hassan bin Ariffin, Ahli Parlimen Rompin sebagai perasmi telah menyerikan lagi penganjuran program i-Breath. Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Seri menekankan bahawa IPT wajar meneruskan inisiatif sebegini sebagai sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat. Inisiatif seperti ini dapat merelisasikan hasrat negara untuk melihat semua lapisan masyarakat mendapat akses kemudahan kesihatan walaupun mereka tinggal di pedalaman.

Penyertaan pakar perubatan dari PPUM yang terdiri daripada Dr Anhar Binti Kamarudin, Dr Ahmad Adib Bin Ramli, Dr Rafi’ Uddin Radzi Bin Ruslay dan Dr Aina Amalina Binti Ahmad Tarmizi sememangnya memberi impak positif dalam memastikan masyarakat mendapat pemahaman dan kaedah yang tepat dalam pengendalian alat peranti i-Breath, pemantauan tekanan darah, kadar denyutan jantung, kadar oksigen dan paras gula dalam darah. Sementara itu, dua unit peranti i-Breath, oksimeter nadi dan mesin tekanan darah akan ditempatkan di Klinik Desa Kampung Juara untuk kemudahan penduduk menjalankan saringan kesihatan secara berkala.

Inisiatif pemindahan pengetahuan menerusi program Kem Saringan Kesihatan (i-Breath) ini dapat memastikan masyarakat tempatan memanfaatkan pengetahuan yang diperolehi, seterusnya meningkatkan lagi tahap kesedaran terhadap pemantauan kesihatan terutama saringan COVID-19 dan penyakit-penyakit kritikal yang lain bagi pemulihan ekonomi masyarakat setempat di fasa endemik. 

MEDICAL TEAM
UTM STUDENT VOLUNTEERS
KEM SARINGAN KESIHATAN

#SejahteraIPT #KPTPrihatin #UNiTY #KeluargaMalaysia #LindungDiriLindungSemua

Explore More