Mei 17, 2024

Search
Close this search box.

UNDI 18 : Pengundi Generasi Muda Pencorak Masa Depan Negara

PUTRAJAYA, 16 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam program memperkasakan pendidikan pengundi (UNDI 18) hari ini. 

Turut melibatkan 17 Universiti Awam (UA), Majlis MoU dan Nota Kerjasama antara UA, Politeknik dan Kolej Komuniti itu dihadiri dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Saleh; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar dan Ketua Pengarah Jabatan dan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Zainab Ahmad. 

Menyahut positif agenda UNDI 18, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata “Menerusi UNDI 18 ini, pelajar Universiti kini memiliki keupayaan baharu menyumbang idea dan tenaga dalam membantu memperkasa ekosistem politik negara”. 

Sementara itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM, Danial Iskandar Jafridiin berkata, “UNDI 18 merupakan satu langkah proaktif kerajaan sekali gus membuka satu dimensi baharu penglibatan secara langsung generasi muda dalam sistem demokrasi di negara kita. Malah, MoU ini dilihat mampu menggiatkan lagi program-program pendidikan politik terutama dalam kalangan mahasiswa untuk lebih cakna akan landskap dan suasana politik tanah air”. 

Ketua Setiausaha, KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato’ Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin juga turut hadir ke majlis yang mencatatkan sejarah tersendiri ini.

Explore More