Disember 26, 2024

The Jakarta Masters 2022: Delegasi Ekuin Bawa Nama UTM Ke Pentas Antarabangsa

This image has an empty alt attribute; its file name is WhatsApp-Image-2022-08-04-at-4.25.34-PM-1.jpeg

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh reputasinya dalam pengurusan ekuin apabila telah mengambil bahagian dalam The Jakarta Masters 2022 dari 28 hingga 31 Julai bertempat di Arthayasa Stable. Delegasi UTM terdiri daripada dua orang pensyarah, seorang pelajar pascasiswazah dan lima orang pelajar prasiswazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Ekuin).

Dalam pertandingan ini, delegasi UTM terlibat sebagai doktor haiwan (veterinar), pembantu veterinar dan petugas pertandingan. Sementara itu, salah seorang pelajar UTM, Ahmad Luqman turut bertanding dalam kategori show jumping 70 cm (terbuka).

Ahmad Luqman dan kudanya.

Sementara itu, salah seorang pensyarah Pengurusan Ekuin UTM, Dr. Hazar Sukareksi berkata, “The Jakarta Masters 2022 merupakan platform terbaik bagi meraih pengalaman dalam pembelajaran dan pengurusan pertandingan equestrian, terutama dalam aspek kesihatan kuda dan hal-hal teknikal penjurian. Secara tidak langsung, ia menjadi nilai tambah kepada pelajar dan pensyarah Pengurusan Ekuin UTM. Malah, ia menjadi medan pertukaran pengetahuan equestrian antara Indonesia dan Malaysia”.

Aksi Ahmad Luqman dalam kategori show jumping 70 cm (terbuka).

Ujar Dr. Hazar lagi, “kejohanan ini menjadi satu platform pendedahan yang baik kepada pelajar ekuin UTM, memandangkan kejohanan ini merupakan acara besar yang menarik perhatian peserta-peserta berkemahiran dan berprestasi tinggi dari seluruh dunia. Keterlibatan pelajar UTM dalam kejohanan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di dalam kuliah ke situasi lapangan sebenar”.

Rangkuman aksi atlet ekuin UTM, Ahmad Luqman dalam The Jakarta Masters 2022.

Penyertaan dalam kejohanan ini diharap mampu memartabatkan lagi sukan equestrian di Malaysia, seterusnya menjadikan UTM antara universiti tempatan yang mampu melahirkan atlet equestrian bertaraf dunia, di samping memiliki pengurusan dan fasiliti ekuin yang boleh dibanggakan.

Explore More