November 14, 2024

Search
Close this search box.

Terus Unggul Perkasa Pendidikan STEM, UTM Tekad Bantu MOSTI Capai Nisbah 60:40

KOTA TINGGI, 28 Ogos – Penurunan drastik minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) telah mendapat perhatian serius daripada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara yang lepas.

Ketibaan konvoi Kayuhan STEM Merdeka disambut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dan Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, YAB Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi minat pelajar di seluruh negara menceburi bidang STEM, seterusnya mencapai sasaran nisbah 60:40 pelajar aliran sains tulen di peringkat sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Ucapan perasmian oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

“Menerusi inisiatif seperti Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia, ia dilihat mampu menyemai pembudayaan dan pengaplikasian sains, teknologi dan inovasi (STI) daripada peringkat pendidikan awal usia persekolahan”, tambah beliau lagi ketika berucap merasmikan Karnival STEM Merdeka bersempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 bertempat di Pusat Informasi & Pelancongan (TIC) Kota Tinggi.

Turut hadir sama dalam program tersebut adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI, Dr. Nagulendran a/l Kangayatkarasu dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Shahilon Abdul Halim.

Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi menyampaikan cenderamata kepada YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi berkata “kaji selidik daripada Jabatan Perangkaan yang mendapati lebih 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran adalah satu petanda yang tidak baik, sekali gus membantutkan usaha Malaysia untuk mencapai taraf negara maju”.

“Penubuhan protem Konsortium STEM oleh UTM dilihat mampu menjadi platform dalam merancang, menghubung, melaksana dan memantau inisiatif pendidikan dan pembudayaan STEM, sekali gus merancakkan dan meningkatkan minat pelajar-pelajar sekolah seluruh negara dalam bidang STEM”, ujar beliau dalam ucapan aluan majlis tersebut.

Antara reruai pameran dari UTM yang dikunjungi YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi”, karnival turut dimeriahkan dengan kehadiran sekitar 1,000 orang pengunjung yang rata-ratanya merupakan guru-guru, pelajar-pelajar dan masyarakat sekitar Kota Tinggi. Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UTM (ICC), Pusat Komuniti dan Jaringan Industri UTM (CCIN), Fakulti Sains (FS), Fakulti Kejuruteraan (FE), Fakulti Alam Bina & Ukur (FABU) dan perusahaan komuniti setempat turut tidak melepaskan peluang membuka reruai pameran.

Turut mendapat perhatian pengunjung adalah produk-produk UTM seperti Anaquin (produk kecantikan berasaskan nenas), Kudos (formulasi rawatan rambut berasaskan ekstrak sirih) dan kekotak kelulut berteknologi tinggi. Selain itu, pengunjung turut berkesempatan melihat sendiri peranti-peranti astronomi, mesin pencetakan 3D dan demonstrasi kimia interaktif.

Antara produk syarikat hiliran UTM yang menarik perhatian YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Pemenang Pertandingan Rekacipta Kota Tinggi Berinovasi turut diumumkan. SK Teluk Ramunia dan SK Felda Air Tawar 1 telah diumumkan sebagai pemenang utama bagi kategori sekolah rendah, manakala kategori sekolah menengah disandang oleh SMK Seri Aman dan SMK Pengerang Utama.

Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Rekacipta Kota Tinggi Berinovasi.

Karnival yang dianjurkan oleh Fakulti Sains UTM ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Akademi Sains Malaysia (ASM), Institut Kimia Malaysia (IKM), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan De Aurora.

Explore More