April 19, 2024

Search
Close this search box.

International Staff Week (ISW): Tiga Staf UTM Timba Pengalaman di Turkiye

Tatkala seluruh dunia terkesan dengan penularan wabak virus Covid-19, selain ratusan ribu manusia menjadi korban di seluruh dunia, landskap sektor pendidikan turut mengalami perubahan yang ketara. Akibatnya, proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang telah diamalkan sejak sekian lama terpaksa dihentikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam kegusaran dan kepayahan menghadapi pandemik, masing-masing berusaha untuk mengintegrasikan teknologi dalam sektor pendidikan demi memastikan proses pembelajaran dan penyampaian perkhidmatan tidak tertangguh di musim pandemik. Jika dilihat daripada sudut pandang yang positif, Covid-19 telah mencetuskan satu semangat dan usaha yang luar biasa bagi semua warga kerja untuk menyampaikan perkhidmatan dengan baik. 

Program International Staff Week (ISW) merupakan sebuah agenda pengantarabangsaan yang berlangsung selama lima hari dan kebiasaannya ia dianjurkan oleh Pejabat Pengurusan Antarabangsa dan Institusi Pengajian Tinggi. Program ini merangkumi seminar, bengkel, pembentangan dan penyertaan aktif pakar domestik dan rakan kongsi strategik antarabangsa. Di samping itu, program ini memberi tumpuan kepada proses pengantarabangsaan universiti termasuk aktiviti sosial dan budaya. Ia adalah satu platform bagi personel yang terlibat dalam pengurusan agenda pengantarabangsaan untuk membentang dan menghubungkan rakan kongsi strategik, fakulti, pelajar serta pegawai di institusi masing-masing dalam prospek kerjasama antarabangsa.

Program ISW dilaksanakan dalam suasana santai namun berstruktur sekali gus memberi peluang peserta berinteraksi dengan rakan sekerja daripada universiti pelbagai negara, berkongsi amalan terbaik dan membincangkan cabaran semasa yang dihadapi untuk menangani agenda pengantarabangsaan di institusi pendidikan tinggi (IPT). Pada masa yang sama, selain mengeratkan hubungan dengan rakan sejawatan antarabangsa, ia turut dapat membantu peserta dalam meningkatkan pengetahuan dan kecekapan. Ia berfungsi sebagai program pembinaan kapasiti dengan tujuan untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh dan meningkatkan kerjasama dalam jaringan antarabangsa. Program ini memberi tumpuan kepada pertukaran pengalaman/pandangan, penilaian perkongsian, berkongsi amalan terbaik dan pembelajaran antara satu sama lain.

Program International Staff Week (ISW) selama lima hari yang berlangsung di Middle East Technical Universiti (METU), Ankara, Turkiye bermula 30 Mei sehingga 3 Jun 2022, telah dihadiri oleh peserta seramai 60 orang secara fizikal yang mewakili lebih daripada 10 buah negara, sementara hampir 200 peserta secara dalam talian daripada institusi pendidikan tinggi di China. Selain Malaysia, program ini turut dihadiri oleh peserta dari negara Albania, Azerbaijan, Pakistan, Morocco, Bosnia, Palestin, Thailand, Russia, Kosovo, Nigeria dan Georgia secara fizikal manakala peserta dari negara China turut serta melalui platform zoom (online). UTM telah menghantar seramai tiga orang peserta untuk mengikutinya di bawah Program Latihan Semasa Bekerja. Peserta daripada UTM terdiri daripada Puan Saidatul Akmal Binti Abdul Hamid daripada Jabatan Pendaftar, Puan Ili Ruwaida Binti Mohd Yusof daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) serta Cik Zetty Raihan Binti Hj. Mohd Yassin daripada UTM International.

Majlis makan malam bersama-sama Presiden METU

Pengisian program adalah lebih terarah kepada forum dan ceramah, dan sesi perbincangan menerusi kumpulan. Antara perkongsian topik menarik yang disampaikan pada sesi ISW ini adalah berkisar kepada “University International Strategy & Practices During & After Covid-19” dikongsikan oleh Dr. Ibrahim Yorgun (METU, Turkey) dan Dr. Zhou Peng (Jiangnan University, China). Antara strategi yang telah dikongsikan oleh panel adalah meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian kaum dan pengantarabangsaan di antara pelajar, pensyarah dan pengurusan melalui pelaksanaan program serta latihan kompetensi merentasi budaya dengan memperuntukkan kewangan yang lebih untuk staf dan pelajar menyertai program mobiliti.

Seterusnya, slot perkongsian yang boleh dianggap menarik adalah daripada Prof. Dr. Jan Cornelis (VUB, Belgium) bertajuk “Internationalization: A story of Growing bottom-up ideas, Receptive Leadership and University Governance processes to make dreams a Reality” selain “Internationalization Strategy Models & Cases from Various Countries” oleh Nadezhda Kliuchko & Ekaterina Korman (Southern Federal University, Russian Federation) dan Dr. Derar Eleyan & Prof. Saed Khayat (Palestine Technical University, Palestine).

Sesi perkongsian amalan terbaik pengurusan pelajar semasa pandemik oleh pihak METU sendiri merangkumi aspek pengurusan pentadbiran, pengajaran, pengurusan aktiviti dan lain-lain. Menerusi sesi ini, peserta telah dibahagikan kepada 5 kumpulan (setiap kumpulan terdiri daripada 12 orang) daripada pelbagai negara untuk membincangkan cabaran dan inisiatif universiti dalam mendepani pandemik ini. Pandangan yang diberikan ada antaranya membuatkan peserta sedikit teruja dengan langkah-langkah yang diambil oleh sesetengah institusi dalam memastikan agenda pengantarabangsaan mereka tidak terhenti dek kerana pandemik.

Delegasi UTM juga berkesempatan untuk mengunjungi GISAM – METU Distance Education Application & Research Center untuk bertemu dengan Prof. Omer Delialogiu demi membawa agenda pengantarabangsaan antara GISAM dengan Centre for Advancement in Digital and Flexible Learning (CDex) UTM menerusi kolaborasi dalam program New Academia Learning Innovation (NALI) 2022. Adalah diharapkan dengan jaringan kerjasama yang cuba dihubungkan ini, kesohoran UTM akan lebih menyerlah dan dikenali.

Delegasi UTM bersama-sama Prof Omer (GISAM).

Beberapa lokasi menarik di Turkiye sempat dikunjungi seperti Atatürk’s Mausoleum, Anatolian Civilizations Museum, St. Augustus Temple & Citadel & Castle. Sebagai sebuah negara yang berkedudukan di sempadan Asia dan Eropah, Turkiye sememangnya sering dikunjungi pengembara dari seluruh dunia. Negara Turkiye ditubuhkan dengan gabungan kepelbagaian warisan dan sejarah yang mengagumkan. Ia lahir menerusi penyatuan Timur dan Barat, pelbagai budaya, penganut agama yang saling memahami, menghormati satu sama lain dan kebebasan untuk menganut kepercayaan agama berbeza.

Dapat mengunjungi negara ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga buat ketiga-tiga staf UTM ini. Apatah lagi disebalik pengalaman tersebut, mereka dapat menimba banyak ilmu pengetahuan menerusi beberapa siri perkongsian (seminar) dan perbincangan yang dijalankan sepanjang program ISW ini berlangsung. Sememangnya, setiap ilmu yang dibawa pulang akan diterapkan dalam tugas harian dan adalah diharap ia dapat dikongsikan dengan rakan-rakan sekerja yang lain demi sebuah pengembangan ilmu yang walaupun sedikit namun memberikan manfaat yang besar kepada mereka yang mempelajarinya selain memberi impak perubahan kepada UTM dalam memperkasakan kesohorannya.

Explore More